Anda di sini

JPJ tubuh pasukan tindakan khas banteras sindiket

Advertisement
 Ismail (dua kanan) mendengar taklimat daripada Mohd Rusdi (tiga kiri) ketika memeriksa rampasan kes kereta Honda klon selepas majlis perjumpaan bersama pegawai dan anggota JPJ Johor sempena Penyampaian Sijil Penghargaan Penguatkuasaan Kenderaan Klon Zon Selatan di JPJ Johor, Taman Daya, semalam. — Gambar Bernama

KERETA DIRAMPAS: Ismail (dua kanan) mendengar taklimat daripada Mohd Rusdi (tiga kiri) ketika memeriksa rampasan kes kereta Honda klon selepas majlis perjumpaan bersama pegawai dan anggota JPJ Johor sempena Penyampaian Sijil Penghargaan Penguatkuasaan Kenderaan Klon Zon Selatan di JPJ Johor, Taman Daya, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menubuhkan sebuah Pasukan Tindakan Khas (PTK) khusus bagi membanteras kegiatan sindiket termasuk kereta klon.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pengambilan fasa pertama seramai 25 anggota PTK itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat sebelum bilangannya ditambah kepada 40 orang.

“Seperti pasukan elit lain, PTK akan menjalani latihan tiga minggu dengan pihak berkenaan bagi mendedahkan mereka dengan penggunaan senjata api, kemahiranmempertahankan diri dan modus operandi sindiket,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersama pegawai dan anggota JPJ Johor di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 21 pegawai dan anggota menerima sijil penghargaan penguatkuasaan kenderaan sebagai menghargai usaha mereka dalam tugas masing-masing.

Ismail berkata beliau optimis sindiket kes kereta klon dapat dibanteras dalam sedikit masa lagi berikutan beberapa inisiatif yang diambil JPJ.

Antara inisiatif itu ialah membangunkan sistem teknologi maklumat yang disepadukan dengan syarikat-syarikat insurans bagi memastikan kesemua kenderaan yang berstatus ‘total loss’ dalam Malaysia, tidak didaftarkan semula.

“Selain itu, pendaftaran Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) akan dilaksanakan terhadap kesemua kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia mulai Mei ini. VEP akan memudahkan kita mengesan mana-mana kereta yang tidak didaftarkan,” katanya.

Sejak April tahun lepas hingga semalam, JPJ telah menyita sebanyak 917 kenderaan klon mewah yang djual di antara RM20,000 hingga RM30,000 kepada penduduk Malaysia dan pembayarannya pula hanya dalam bentuk tunai.

Ismail berkata dalam kes terbaharu, pihaknya menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 25 dan 26 tahun di sebuah kawasan di sini semalam ketika kedua-duanya merancang bertemu dengan seorang pembeli.

“Berdasarkan siasatan, mereka mengaku telah menjual enam kenderaan klon, namun kita percaya mereka telah melakukannya lebih daripada itu,” katanya. — Bernama

 

Advertisement