Anda di sini

Hanya 416 sekolah sahaja dikategori daif di Sabah, kata Jame

Advertisement
 Jame (tengah) menyampaikan penghargaan kepada bekas Guru Besar Musa Numan.

JASAMU DIKENANG: Jame (tengah) menyampaikan penghargaan kepada bekas Guru Besar Musa Numan.

KENINGAU: Sejumlah 416 sekolah sahaja yang dikategori daif di negeri ini yang dikenal pasti untuk pembinaan bangunan gantian penuh menggunakan kaedah Sistem Bangunan Industri (IBS) berikutan kos pembinaannya lebih menjimatkan, tahan lama dan mudah disiapkan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar nasional kelmarin berhubung kesilapan fakta di mana jumlah sebenar sekolah daif bukannya seperti yang dilaporkan dalam akhbar berkenaan.

“Saya membetulkan kenyataan itu bahawa bilangan sekolah daif yang terlibat dalam kaedah gantian penuh itu bukannya 1,072 sekolah, itu adalah bilangan sekolah rendah di negeri ini,” katanya selepas memberi amanat kepada warga pendidikan sempena Majlis Jerayawara Pengarah Zon Pedalaman, di sini.

Pada masa sama, Jame berkata ia termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Kanibongan Pitas yang sedang dalam pembinaan bermula tahun lalu, kini berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jame juga memaklumkan bahawa cadangan pembinaan Sekolah Menengah Sains Keningau baharu mendapat kelulusan kerajaan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan dijangka akan memulakan pembinaannya dalam tahun ini, dan dijangka siap menjelang tahun depan.

“Sekolah Menengah Sains Keningau baharu mendapat kelulusan dalam RMK ke-11 dan ini akan memacu kecermerlangan pendidikan di negeri ini khususnya di luar bandar untuk menikmati kemudahan pendidikan yang mencukupi serta mampu bersaing untuk memartabatkan pembangunan pendidikan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis itu, Jame menggesa semua pemimpin sekolah dan warga pendidik agar turun padang menyelami masalah pelajar, bukan sahaja mengamalkan budaya guru mengajar murid belajar tetapi juga tahu latar belakang setiap pelajar dengan lebih dekat melalui kunjungan ke rumah pelajar terutama yang menghadapi masalah ponteng sekolah.

Dalam pada itu, Jame berkata walaupun Sabah menghadapi pelbagai cabaran pendidikan akibat bencana alam, kebakaran sekolah , peperiksaan awam ulangan pada 3 tahun lalu, namun Jabatan Pendidikan Sabah mampu mencatat pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan terutama dalam peratus pencapaian peperiksaan awam yang terus meningkat, termasuk kejayaan pelajar dalam kokurikulum.

Dalam majlis itu, beliau melancarkan kelab kumpulan guru muda peringkat daerah Keningau yang berperanan sebagai pelapis kepimpinan pendidikan akan datang.

Beliau yakin dengan adanya pemimpin muda pendidikan yang akan didedahkan dengan pelbagai aspek pengurusan, pendekatan pendidikan akan menjadikan warisan pendidikan yang cemerlang terus dinikmati secara berterusan kelak.

Turut mendapat penghargaan ialah warga pendidik yang bersara terdiri daripada bekas guru besar, pengetua dan guru di seluruh zon pedalaman Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian pelajar sekitar daerah pedalaman.

 

Advertisement