Anda di sini

Syahrul belum dapat beraksi

Advertisement

 Pemain memanaskan badan sebelum memulakan sesi latihan.

BURU KEMENANGAN: Pemain memanaskan badan sebelum memulakan sesi latihan.

Oleh Harry Ilias//

KUCHING: Penyerang Sarawak, Syahrul Azwari Ibrahim masih belum dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (Kelantan) di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal sambil enggan mengulas punca penyerang muda itu tidak dapat diturunkan.

“Kita masih belum dapat menurunkan Syahrul pada perlawanan menentang Kelantan,” katanya semalam.

“Bagaimanapun, saya cukup lega kerana empat pemain tonggak yang cedera sebelum ini pulih sepenuhnya dan dapat diturunkan pada perlawanan malam esok (hari ini).”

Menurutnya Gilmar Jose Da Silva Filho, J Partiban, Davide Grassi dan Shahril Saa’ri dapat beraksi semula selepas ditimpa kecederaan semasa perlawanan Piala FA menentang Perak pada minggu lepas.

Ia berita gembira buat Rajagobal yang amat memerlukan kudrat empat tonggak itu bagi memperkuatkan peluang Sarawak memburu kemenangan pertama dalam kempen Liga Super selepas tewas dua perlawanan sebelum ini.

Mengulas pertemuan dengan Kelantan, Rajagobal tetap percaya Sarawak mampu melakar kejutan ke atas skuad gergasi itu sekali pun bertandang ke laman lawan.

“Peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang namun saya tetap optimis kita tetap berpeluang untuk mencatat kemenangan.

“Apa yang penting, pemain perlu lebih fokus dan memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol,” ujar beliau lagi.

Katanya, Kelantan tetap pasukan yang mempunyai reputasi tinggi kerana dibarisi ramai pemain berpengalaman dan berkualiti.

Justeru, ruang untuk melakukan kesilapan perlu dielak sambil berharap jentera serangan bermain dengan lebih agresif untuk memburu gol, tegas beliau kepada pemainnya.

Rajagobal juga yakin dua penyerang importnya, Gilmar dan Makeche akan menamatkan kemarau jaringan sedikit masa lagi.

“Ia perkara biasa jika pemain import tidak menjaringkan gol dalam satu dua perlawanan kerana masih mencari rentak.

“Namun, saya tetap optimis keduanya akan kembali kepada prestasi terbaik dan menjaringkan gol. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk skuad,” jelasnya.

 

Advertisement