Anda di sini

Prestasi baik atlet taekwondo menjadi tonik hadapi SUKMA

Advertisement
 Tan (barisan ketiga, lima kanan) bersama Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Mohd Faizal, atlet dan pegawai selepas majlis penyampaian hadiah.

TERUJA: Tan (barisan ketiga, lima kanan) bersama Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS)
Mohd Faizal, atlet dan pegawai selepas majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Prestasi memberangsangkan atlet Persatuan Taekwondo Sarawak (WTF) pada dua kejohanan sebelum ini menjadi tonik dan memberi keyakinan kepada Sarawak untuk menghadapi SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai depan. Kontinjen negeri dibarisi seramai 11 atlet berjaya membawa pulang tiga emas, satu perak dan empat gangsa pada Sirkit Senior dan Remaja Kebangsaan Taekwondo Malaysia (WTF) Sportexcel-NSC-Milo yang berlangsung di Perlis.

Pemenang pingat emas Nurul Nur Hafizza Mahdi, Nurul Fatihah Roslan dan Joyce Hii manakala Amelia Wong Yen Ting merangkul perak.

Pingat gangsa dimenangi Tie Ton Siong, Tan Yen Ming, Monica Sharma Sanjeev Kumar dan Rebecca John Nedek.

Turut berada dalam skuad negeri Tie Sing Da, Licky Donny Ling, Virtlam Umpau dan Tan Yen Ming.

Mereka diiringi Pengerusi Teknikal Taekwondo Negeri, Tan Check Joon dan jurulatih Kochphoom Nimmit dan Pacharaporn Thongchan.

Pada Kejohanan Taekwondo (WTF) Festival Bangkok, Sarawak diwakili sembilan atlet berjaya merangkul tiga emas, tiga perak dan dua gangsa.

Mohd Amirul Juwanda memenangi emas dalam kategori ‘middle weight’, Virtlam Umpau (welter weight) dan Audrey Nu Alexander Mula (fly weight).

Pemenang pingat perak Chai Chun Hui (light weight), Emran Ghaffary Mohamad Daud (welter weight) dan Caren Li (welter weight).

Manakala Tie Ton Song (bantam weight) dan Licky Donny Ling (fly weight) menghadiahkan gangsa.

Presiden WTF, Mohamad Salleh Sani melahirkan rasa bangga dengan prestasi keseluruhan kontinjen taekwondo negeri dalam dua kejohanan berkenaan.

“Atlet muda telah menunjukkan kesungguhan pada dua kejohanan tersebut. Pada kejohanan di Bangkok, skuad kita diketuai Tan dan Kochphoom berjaya mencapai pencapaian membanggakan dengan memenangi lapan pingat.

“Skuad negeri juga telah menunjukkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan itu yang turut disertai pelbagai kolej dan sekolah di seluruh Bangkok,” katanya.

Menurut Salleh, kejohanan berkenaan memang sukar di mana atlet negeri terpaksa berdepan lebih 100 atlet terbaik di sana yang turut memburu pingat.

“Ia pendedahan yang cukup baik dan memberi peluang kepada atlet kita mendapat pengalaman berguna khususnya sebagai persiapan menghadapi SUKMA XVIII.”

 

Advertisement