Anda di sini

LBSR: Kuching awasi ancaman Miri

Advertisement
 Skuad Kuching berada dalam ‘mood’ terbaik menjelang perlawanan menentang Miri pada Sabtu ini di Stadium Negeri.

BERSEDIA: Skuad Kuching berada dalam ‘mood’ terbaik menjelang perlawanan menentang Miri
pada Sabtu ini di Stadium Negeri.

KUCHING: Pengurus skuad Kuching, Iswandi Ali Hassan tidak mahu anak-anak buahnya terlalu yakin ketika berdepan Miri dalam perlawanan keempat Liga Bola Sepak Rakyat (LBSR) 2015- 2016 Peringkat Kebangsaan berlangsung di Stadium Negeri pada Sabtu ini.

Menurutnya, kekuatan kedua-dua skuad adalah seimbang dan percaya pasukan lawan turut berpeluang memburu kemenangan.

“Kita menjangkakan perlawanan yang sengit dengan Miri kerana kekuatan mereka seimbang dengan Kuching.

“Tambahan pula, kita masih kehilangan dua pemain utama (Sufizal dan Ahmad Sakhri) akibat kecederaan dan ia sedikit menjejas perancangan skuad,” katanya semalam.

Iswandi bagaimanapun percaya kedudukan semasa Kuching selaku pendahulu Kumpulan C selain bermain di laman sendiri menyemarakkan semangat anak-anak buahnya untuk memburu tiga mata penuh.

Malah, pemain juga berada dalam mood terbaik untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bagi memastikan mereka melangkah selesa ke pusingan seterusnya.

Kuching masih mengungguli tangga teratas Kumpulan C dengan mengumpul lima mata hasil dari satu kemenangan dan dua seri.

Berada di kedudukan kedua Kota Belud dari Sabah juga dengan lima mata manakala Miri di tempat ketiga dengan empat mata dan Papar (Sabah) di tempat keempat dengan satu mata.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 4 petang.

Advertisement