Anda di sini

Bangunan baharu SK Bawang Tamparuli siap

Advertisement

 Tah Nia (kiri) menyampaikan kunci replika kepada Rosemary (empat kiri) sebagai simbolik penyerahan bangunan SK Bawang Tamparuli yang turut diperhatikan oleh Jame (dua kiri).

SIMBOLIK: Tah Nia (kiri) menyampaikan kunci replika kepada Rosemary (empat kiri) sebagai simbolik penyerahan bangunan SK Bawang Tamparuli yang turut diperhatikan oleh Jame (dua kiri).

TAMPARULI: Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang yang rosak akibat dilanda banjir lumpur kira-kira dua tahun lalu kini mempunyai bangunan bilik darjah yang baharu selepas berjaya disiapkan pada 13 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata, bangunan dua tingkat yang mempunyai enam bilik darjah serta dua unit tandas itu memakan kos sebanyak RM942,579.77.

“Kontraktor telah berjaya menyiapkan bangunan sekolah ini dalam masa yang ditetapkan, dalam tempoh selama enam bulan iaitu bermula 25 Julai 2015 dan siap pada 13 Januari 2016.

“Pembinaan yang menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) ini sesuai untuk dibangunkan di sekolah ini dengan murid seramai 129 orang,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek SK Bawang Tamparuli, di sini kelmarin.

Menurut Jame, sistem terbabit bukan sahaja ringkas dan lebih kukuh tetapi juga menjimatkan kos.

“Saya yakin peruntukan sebanyak RM2 juta menggunakan sistem ini di sekolah luar bandar yang daif dengan kapasiti murid kira-kira 150 hingga 200 orang adalah mencukupi untuk membina bilik darjah dan juga rumah guru,” katanya.

Pihaknya juga mencadangkan Kementerian Pendidikan agar menggunakan sistem itu di semua sekolah di Sabah yang mempunyai kapaisiti murid seramai 200 ke bawah.

“Kita juga akan cuba memohon peruntukan menaik taraf dan atau menggantikan sekolah yang daif serta rumah guru dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah, setakat ini Sabah mempunyai kira-kira lebih 400 sekolah daif yang terletak di pulau dan kawasan pedalaman.

Jame berkata, pihaknya mahu mengurangkan jurang akademik di antara kawasan bandar dan luar bandar dengan membangunkan sekolah luar bandar agar lebih kondusif dan selari dengan kemudahan yang terdapat di bandar.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan kerja Pendidikan JKR Malaysia Ismail Abdul Aziz, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran Tah Nia Jaman, Guru Besar SK Bawang Rosemary Jamari dan tetamu kehormat yang lain.

Terdahulu pada 15 Januari 2014, sebuah blok SK Bawang Tamparuli telah runtuh akibat dilanda banjir lumpur.

Ekoran itu, sebuah bangunan kabin sementara terpaksa dibina bagi membolehkan murid di sekolah terbabit meneruskan persekolahan sementara menunggu bangunan baharu dibina.

 

 

Advertisement