Anda di sini

Empat tonggak masih berpeluang

Advertisement

Kecederaan tidak serius, Rajagobal yakin mereka dapat diturunkan menghadapi Kelantan malam esok

// Oleh Harry Ilias //

 Pemain menjalani latihan sebagai persiapan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu esok.

PERSIAPAN: Pemain menjalani latihan sebagai persiapan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu esok.

KUCHING: Sarawak masih berpeluang menurunkan empat pemain tonggak utama untuk menghadapi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (Kelantan) pada aksi Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini.

Menurut Ketua Jurulatih Datuk K Rajagobal, kecederaan yang dialami Gilmar Jose, J Partiban, Davide Grassi dan Shahril Saa’ri tidak terlalu serius dan mereka masih berpeluang diturunkan jika dapat sembuh dalam sehari dua ini.

“Kita masih menunggu laporan penuh dari fisioterapi mengenai tahap kecederaan pemain ini.

“Namun, saya masih yakin kesemua mereka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Kelantan,” katanya semalam.

Gilmar, Partiban, Davide dan Shahril masing-masing mengalami kecederaan semasa perlawanan Piala FA menentang Perak pada minggu lepas yang berkesudahan Sarawak tewas 1-3 sekali gus tersingkir dari saingan.

Menurut Rajagobal lagi, beliau amat memerlukan khidmat keempat pemain itu untuk berdepan Kelantan.

“Kita tahu Kelantan sebuah pasukan yang cukup mantap kerana dibarisi ramai pemain yang cukup berpengalaman. Tambahan lagi mereka akan bermain di laman sendiri dan ia pasti menyuntik semangat mereka untuk memburu kemenangan.

“Justeru, saya amat memerlukan kesemua pemain untuk memastikan kita turun sebagai skuad yang mantap dan mampu menyaingi lawan,” katanya.

Sarawak dalam keadaan terdesak untuk memburu mata pertama selepas tewas dua perlawanan pertama liga di tangan PDRM dan FELDA United termasuk tersingkir dari saingan Piala FA.

Kemenangan ke atas Kelantan akan memastikan Sarawak yang ketika ini menghuni tangga ke-12 keluar dari zon penyingkiran.

Advertisement