Anda di sini

Pelajar UiTM Sabah boleh nikmati makanan percuma

Advertisement

SEPANGGAR: Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah kini boleh menikmati makanan secara percuma dengan lancarnya Kempen Kami Prihatin: 1 + 1 Meal.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, kempen itu adalah satu mekanisme terbaik dalam membantu pelajar kurang berkemampuan yang melanjutkan pengajian di UiTM.

“Kempen ini dilaksanakan menerusi dua cara itu, seorang kakitangan atau Alumni UiTM boleh menyumbangkan atau berbelanja seorang lagi pelajar (1+1) atau lebih ketika menjamu selera di kafeteria dalam UiTM yang dipilih.

“Cara kedua adalah sumbangan dalam bentuk kupon, di mana satu kupon bersamaan dengan nilai RM5. Para pelajar boleh mendapatkan kupon ini di kaunter-kaunter kafe Manukan, Mabul dan Matanani…tiada had makan, cuma terhad satu kupon untuk satu-satu masa sahaja,” katanya ketika merasmikan Kempen Kami Prihatin: 1 + 1 Meal, di sini kelmarin.

Beliau menggesa semua pihak bekerjasama khususnya warga UiTM agar boleh menjayakan usaha yang dilaksanakan itu.

Katanya, dengan jumlah kakitangan UiTM yang ramai, sudah pasti satu jumlah yang besar dapat disumbangkan kepada kafeteria yang dipilih seterusnya kupon yang terkumpul boleh digunakan oleh para pelajar untuk menikmati hidangan sarapan pagi serta makan tengah hari dan juga malam.

Ketika ditemui, Jainab memuji usaha UiTM melaksanakan pendekatan sedemikian bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan.

“Bukan kerajaan sahaja mampu berbuat demikian tapi pihak institusi juga melakukan kebajikan sedemikian,” katanya.

Jainab berkata, sekiranya pengusaha makan di luar turut melakukan perkara yang sama, isu harga makanan mahal tidak akan wujud pada ketika minyak kenderaan diturunkan.

“Saya juga menyarankan semua peniaga turut serta dalam membantu masyarakat mengurangkan bebanan hidup.

“Sekarang ramai yang menyalahkan kerajaan mengenai harga makanan yang tinggi sedangkan harga minyak kenderaan di negara ini semakin menurun,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Rektor UiTM Sabah Datuk Abdul Kadir Rosline.

 

 

Advertisement