Anda di sini

Tagal kampung daripada sampah

Advertisement

Sistem untuk sungai dan hutan boleh diamalkan bagi menjaga kebersihan

 Ewon (bertopi) menunjukkan seekor ikan pelian yang dipukat di Tagal Sungai Langsat.

HASIL TAGAL: Ewon (bertopi) menunjukkan seekor ikan pelian yang dipukat di Tagal Sungai Langsat.

RANAU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin menggesa masyarakat supaya sentiasa mengutamakan kebersihan bukan sahaja kepada diri sendiri, keluarga tetapi juga kepada persekitaran kampung masing-masing bagi menjamin kesihatan yang baik sepanjang masa.

Katanya, sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit baharu muncul dan menular dengan begitu cepat, malah membawa kematian kepada ribuan nyawa di seluruh dunia.

“Penyakit-penyakit ini kebanyakannya menular melalui bawaan binatang atau serangga seperti tikus, nyamuk dan sebagainya akibat daripada keadaan persekitaran yang tidak bersih,” katanya.

Bagi mengekalkan kebersihan dan kesihatan di kampung-kampung, Ewon mencadangkan supaya pemimpin kampung masing-masing menjalankan sistem tagal daripada sampah sarap dan kotoran lain, sama seperti pengamalan tagal sungai dan tagal hutan.

“Kalau tagal sungai melarang penduduk daripada menangkap ikan serta hidupan air yang lain dan tagal hutan pula melarang untuk memburu serta menebang kayu-kayan, maka tagal sampah sarap pula bertujuan melarang penduduk membuangnya di merata tempat.

“Melalui sistem tagal sampah ini, pemimpin kampung disyorkan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak merangka undang-undang kecil bagi membendung orang ramai daripada mengotorkan persekitaran dengan mengenakan denda sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai bersama pemimpin, anggota RELA dan masyarakat PDM (Pusat Daerah Mengundi) Kampung Langsat (DUN Kundasang), kira-kira 40 kilometer dari pekan Ranau.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang dari sekitar lima kampung berjiran itu, iaitu Langsat, Debut, Kilanas, Kirokot dan Singgaron, Ewon turut memuji penduduk di situ yang sentiasa menunjukkan perpaduan erat serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

Katanya, perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik akan memudahkan para pemimpin kampung dan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk pembangunan untuk dinikmati rakyat.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan atau swasta untuk menyertai sebarang program yang dianjurkan penduduk kampung bagi memudahkan pemimpin dan pejabat terlibat mengenal pasti masalah dan merancang cara mengatasinya.

Terdahulu, pengerusi penganjur Sabli Sarayah berkata, antara pengisian program santai yang berlangsung selama dua hari itu ialah perlawanan bola sepak dan bola tampar antara anggota RELA dan penduduk kampung serta pertandingan kawad oleh RELA.

“Selain itu, acara paling menarik yang mendapat banyak sambutan ialah mendaki bukit (jungle tracking) dari Kampung Langsat menuju ke bukit Gua Kimondou, pertandingan karaoke dan memukat di Tagal Sungai Kinahawan, Langsat,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon yang juga pengerusi Barisan Nasionaal Ranau menerima sebanyak 60 borang penyertaan baharu ke dalam parti UPKO daripada penduduk Kampung Langsat yang diketuai oleh Juhairi Yunus.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pemuda UPKO Nasional Arthur Sen, Ketua Wanita UPKO Ranau Puan Sri Anisah Ibrahim, serta Pegawai Khas dan Setiausaha Kerja Ewon, Japirin Sahadi dan Dallius Ubin.

Advertisement