Anda di sini

Siling pusat komersial runtuh, tiada kecederaan dilaporkan

Advertisement
 Keadaan tempat duduk luar premis minuman di VivaCity Megamall selepas siling di pusat beli-belah itu runtuh semalam.

MENGGEMPARKAN: Keadaan tempat duduk luar premis minuman di VivaCity Megamall selepas siling di pusat beli-belah itu runtuh semalam.

KUCHING: Warga bandar raya ini kembali gempar dengan isu yang membabitkan VivaCity Megamall apabila siling pusat komersial berkenaan runtuh dan menghempap bahagian tempat duduk luar premis minuman terkemuka di sini, semalam.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurut pihak pengurusan VivaCity Megamall, kejadian itu dipercayai berlaku pada malam kelmarin.

“Kejadian berlaku malam tadi (Isnin) dan tiada orang yang berada di kawasan tempat duduk itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Pihak kontraktor telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan akan menjalankan kerja-kerja pembaikan di bahagian yang runtuh dalam masa terdekat.

Sementara itu, gambar bumbung yang terjatuh itu dimuat naik di Facebook dan menjadi viral di laman sosial semalam.

Malah insiden malang itu turut menarik perhatian ramai pengguna laman sosial yang memberi komen serta menyuarakan pendapat mereka tentang kejadian itu.

Sebelum ini, masyarakat turut gempar dengan kes keretakan pada struktur binaan premis beli-belah itu selepas beberapa bulan disiapkan.

Namun, pihak pengurusan telah tampil menjelaskan isu berkenaan.

Advertisement