Anda di sini

Tiga rumah kayu musnah dalam kebakaran

Advertisement

TAWAU: Tiga rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Ranggu awal pagi kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira kira jam 5.30 pagi itu turut memusnahkan dua buah motosikal dan dua buah kereta.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Menurut salah seorang mangsa Mohd Nasir Mohd Noor, api merebak dengan cepat sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting.

“Saya hanya berjaya menyelamatkan satu seluar dan baju sahaja,” katanya sambil menambah beliau bersama kakaknya berada di dalam rumah semasa kejadian.

Katanya, api dipercayai bermula dari sebuah stor di dalam rumah berkenaan.

“Semasa kejadian saya sedang tidur dan hanya menyedari api sudah mula merebak dan bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya lagi.

Menurutnya, api yang merebak dengan cepat menyukarkan mereka menyelamatkan dua buah kenderaan jenis Kancil yang diletakkan di halaman rumah.

“Kami hanya berjaya menyelamatkan sebuah kenderaan jenis Land Rover hasil bantuan orang kampung berhampiran,” katanya.

Sementara itu, api berjaya dikawal oleh pihak bomba yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima aduan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut tiba di tempat kejadian dan melawat mangsa kebakaran.

Advertisement