Anda di sini

Kurangkan berpolitik, fokuskan kepada pembangunan: Sapawi

Advertisement

SIPITANG: Semua pihak terutama pemimpin-pemimpin politik di negara ini digesa supaya mengurangkan ‘politiking’, sebaliknya perlu lebih fokus terhadap agenda pembangunan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia perlu bagi memastikan negara dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 demi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat.

Beliau berkata `politik keterlaluan’ tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat termasuk perubahan dari segi pembangunan sesebuah kawasan, negeri mahupun negara.

“Kalau mahu berpolitik, lakukannya bersungguh-sungguh ketika berkempen kerana ketika itu merupakan masa yang sesuai.

“Namun pada hari ini, kita harus lebihkan bekerja dengan meletakkan fokus terhadap objektif bagi membangunkan kawasan demi membawa perubahan serta kesejahteraan rakyat, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Pesta Angpau 2016 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Sipitang di Dewan Serbaguna Sipitang, malam Jumaat lepas.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Ahmad Bujang dan Pegawai Daerah Sipitang, Latip Amat.

Sementara itu, Sapawi yang juga Exco Penerangan Sabah berkata, perpaduan yang dimiliki Sabah wajar dipertahankan semua pihak agar keharmonian yang dikecapi hari ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Katanya, kunci kepada kestabilan boleh dilihat menerusi toleransi yang diamalkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang terdapat di negeri ini.

Jelasnya, walaupun berlainan kaum dan kepercayaan namun rakyat negeri ini sentiasa menghormati sensitiviti penganut agama lain yang merupakan tonggak penting kemakmuran negara.

“Inilah keistimewaan Sabah yang sentiasa mengutamakan semangat toleransi sebagai kunci keharmonian seluruh masyarakat untuk terus hidup bermuafakat sebagai satu keluarga harmoni.

“Justeru, kelebihan ini harus dipertahankan dan dijadikan sebagai asas kukuh untuk terus mengekalkan kemakmuran,” katanya.

Advertisement