Anda di sini

Kerajaan tangani pembohongan dengan pelancaran Cyber Safe

Advertisement
 Madius (tengah) dan Donald (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pesta Ang Pau UPKO Penampang 2016 di Penampang. Turut kelihatan Cheong (kanan).

PESTA ANGPAU: Madius (tengah) dan Donald (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pesta Ang Pau UPKO Penampang 2016 di Penampang. Turut kelihatan Cheong (kanan).

PENAMPANG: Kerajaan akan berusaha untuk memastikan segala pembohongan yang disebarkan menerusi media sosial dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, usaha itu akan dilakukan dengan lebih mantap selepas pelancaran Cyber Safe hari ini.

“Kita akan memastikan segala bentuk pembohongan dapat ditangani dengan pelancaran Cyber Safe yang mana ia akan dilakukan di seluruh dunia.

“Masyarakat global pada hari ini mahu mendidik individu supaya kita juga menjadi pemimpin dalam alam maya supaya semua bersama-sama menangani masalah berkaitan media sosial yang selama ini disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Ang Pau UPKO Penampang 2016 di sini malam Jumaat lalu.

Beliau berkata, kerajaan sangat prihatin dengan isu itu dan berharap rakyat juga memahami dan gunakan kuasa mereka untuk tanggungjawab bersama.

Katanya, isu pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh yang disebarkan menerusi media sosial telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Saya sangat prihatin mengenai perkara itu, lebih-lebih lagi CyberSecurity Malaysia adalah agensi di bawah jagaan kementerian saya.

“Kita akan pantau mereka yang sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa mereka sebagai pengguna media sosial untuk menakutkan rakyat,” katanya.

Menurutnya, perkara yang berlaku mengenai isu pekerja Bangladesh adalah kerajaan Bangladesh telah mendaftar sejumlah 1.5 juta rakyatnya termasuk wanita yang ingin kerja di luar daripada negara itu.

Katanya, kerajaan Bangladesh turut mengumumkan bahawa pekerja mereka bersiap sedia untuk bekerja di mana-mana sahaja dan Timbalan Perdana Menteri menyatakan Malaysia memang ada keperluan untuk mengambil pekerja tetapi perlu membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dengan kerajaan Bangladesh.

“Kita mempunyai 60 persatuan industri yang sentiasa menghubungi kerajaan dalam usaha meminta bantuan mendapatkan pekerja untuk bekerja di kilang mereka dalam sektor peladangan, pembinaan dan lain-lain.

“Bagaimanapun, pihak yang mengatakan kerajaan Malaysia sudah membuat Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh mengenai perkara itu adalah tidak benar kerana tidak ada satu perjanjian pun telah diusahakan,” katanya.

Madius yang juga Pemangku Presiden UPKO turut bertegas bahawa Ketua Menteri Sabah dari dahulu lagi telah menyatakan bahawa tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada semua pihak agar tidak ada mana-mana individu yang cuba ingin memecahkan keharmonian dan kesatuan yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah khususnya Penampang.

“Walaupun kita mempunyai perbezaan tetapi kita masih dapat hidup bersama tanpa berhadapan dengan masalah sebaliknya kita hidup dalam harmoni, aman dan bertoleransi.

“Keadaan ini perlu dipertahankan dengan mengamalkan sikap saling faham-memahami, hormat-menghormati dan kesederhanaan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Barisan National (BN) Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin, Ketua MCA Bahagian Penampang, Datuk Francis Goh, Presiden Persatuan Pembina Sabah (SBA), Cheong Kwee Min serta barisan pemimpin Komponen BN yang lain.

Advertisement