Anda di sini

Isteri minta wang belanja, anak dibunuh

Advertisement

Suspek yang berada di bawah pengaruh dadah tergamak menikam anak hingga mati

KENINGAU: Gara-gara isteri meminta wang untuk belanja dapur daripada suaminya yang dipengaruhi dengan dadah, seorang kanak-kanak menjadi mangsa pembunuhan.

Kejadian itu berlaku pada 18 Februari di sebuah rumah di Kilometer 75 Jalan Nabawan berhampiran dengan Kilang Papan Wangsa dan Kampung Melampoi Nabawan, kata Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong di sini kelmarin.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, beliau memberitahu dalam kejadian jam 2.25 pagi itu, mangsa Rojas Jonvin berusia lapan tahun yang juga merupakan anak lelaki suspek mati di tempat kejadian sementara isterinya, seorang suri rumah dan rakyat asing berusia 49 tahun turut ditikam di bahagian perut sebelah kanan.

Katanya, pada hari kejadian, seorang anggota polis dari Balai Polis Nabawan menerima panggilan dari seorang lelaki India memaklumkan terdapat satu pergaduhan berlaku.

Dan bertindak atas maklumat itu, Kopral Firdaus dan anggota balai telah pergi ke tempat kejadian.

Menurut beliau, sejurus tiba di tempat kejadian, kelihatan suspek dari tingkap rumah dalam keadan yang agresif.

“Inspektor Roning Mulut bersama beberapa anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah yang tiba kemudian di tempat itu telah menangkap suspek kira-kira jam 5 pagi.

“Suspek, 39, seorang rakyat asing bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kem balak di Nabawan,”  katanya.

Douglas berkata, siasatan awal mendapati tempat kejadian merupakan sebuah rumah berhampiran dengan sebuah kilang papan yang sudah tidak beroperasi, sementara di sebelah kiri tempat kejadian itu terdapat sebuah rumah yang tidak berpenghuni.

Katanya, tempat kejadian diduduki oleh suspek, isterinya serta anaknya (mangsa) sejak dua bulan lalu dan jarak tempat itu ke jalan utama (Nabawan-Keningau) adalah dua kilometer dan 12 kilometer dari Balai Polis Nabawan.

Katanya, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan meniarap dengan beberapa kesan luka di bahagian badan.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan oleh Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan telah menemui dua bilah pisau berhampiran mayat mangsa disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Menurut isteri suspek punca kejadian adalah disebabkan suspek marah dengan isterinya yang meminta wang gaji suspek untuk membeli belanja dapur.

“Suspek telah mengejutkan anaknya (mangsa) yang sedang tidur dan mengangkat anak itu berhadapan dengan isterinya. Suspek kemudian telah mengambil pisau berwarna merah dari dapur rumah mereka dan menikam anak itu di bahagian belakang badan.

“Sejurus selepas itu, berlaku pergelutan antara suspek dan isterinya menyebabkan isterinya turut ditikam oleh suspek.

“Isterinya kemudian telah lari untuk menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada penghuni rumah yang berdekatan,” katanya.

Douglas memberitahu bahawa hasil siasatan awal polis mendapati isteri suspek merupakan isteri keduanya dan telah berkahwin dengan suspek sejak enam tahun yang lalu tetapi tidak mempunyai anak. Mangsa merupakan anak kandung suspek.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau dan seterusnya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan bedah siasat telah dilakukan pada Jumaat jam 10 pagi.

Menurut beliau, hasil laporan bedah siasat terdapat satu luka hirisan pada leher dari bahagian hadapan ke kiri leher mangsa.

“Luka ini telah mencederakan otot dan satu saluran darah utama pada leher mangsa. Terdapat juga satu kesan luka tikaman pada bahagian kiri dada yang mencederakan tulang rusuk, organ ‘spleen’ dan buah pinggang sebelah kiri mangsa.

“Akibat daripada kecederaan itu, berlaku pendarahan di sekeliling buah pinggang sebelah kiri mangsa selain terdapat satu luka tikaman pada belakang pada sebelah kiri mangsa yang menembusi tulang belakang dari kiri ke kanan dan mencederakan buah pinggang kanan dan kelenjar adrenal mangsa,” katanya.

Douglas berkata, mangsa mengalami pendarahan di sekeliling buah pinggang dan doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan luka hirisan di leher dan kedua-dua tikaman di dada sebelah kiri mangsa.

Sementara itu katanya, isteri suspek juga telah dirujuk ke bahagian kecemasan Hospital Keningau dan mengalami kesan luka dipercayai ditikam di bahagian perut sebelah kanan sepanjang dua sentimeter dan terdapat kesan calar dipercayai terkena pisau di bahagian hadapan perut sebelah kanan mangsa sepanjang enam hingga tujuh sentimeter.

“Isteri suspek telah mendapat rawatan di Hospital Keningau selama dua malam dan siasatan polis mendapati isteri suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan telah ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Douglas memberitahu bahawa suspek telah direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Katanya, ujian air kencing terhadap suspek telah menunjukkan positif dadah jenis Methamphatamine dan Amphatamine.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ASP Lee Nyuk Kim dan pegawai penyiasat.

Advertisement