Anda di sini

Suspek kes pukul hingga mati ditahan polis

Advertisement

SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing ditahan polis dan sebatang besi dirampas dipercayai digunakan untuk memukul hingga mati seorang pekerja kapal nelayan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, suspek berumur 42 tahun ditahan oleh pihak polis di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 18.

Dalam kejadian pada 14 Februari kira-kira jam 4.45 pagi, polis telah menerima panggilan daripada orang awam mengatakan seorang lelaki terbaring di tepi Jalan Old Slipway Bandar Sandakan dalam keadaan berlumuran darah.

“Hasil siasatan mangsa yang dikenali sebagai Sudirman Teppu, 27, telah meninggal dunia dengan kesan kecederaan di bahagian muka serta berlumuran darah dipercayai dipukul berkali-kali dengan senjata tumpul.

“Bertindak atas maklumat pada 17 Februari kira-kira jam 9 malam, sepasukan anggota polis yang diketuai oleh ASP Nazri dan Inspektor Suddin telah berjaya menahan suspek dan merampas sebuah telefon bimbit,” katanya.

Kira-kira jam 9.55 malam hari yang sama tambahnya, suspek telah membawa pihak polis ke Jalan Old Slipway dan menunjukkan senjata yang digunakan bagi memukul mangsa.

Zabidi berkata, pihaknya telah merampas satu batang besi berukuran 110cm dengan kesan dipercayai darah.

Pihaknya juga dibawa oleh suspek ke sebuah rumah di tingkat 4B tangga 1 Bangunan no.6 di Jalan Old Slipway bagi merampas sehelai seluar jeans (direndam dalam besen di bilik air) yang dipakainya semasa kejadian.

Beliau berkata, motif pembunuhan disebabkan mangsa telah memaki suspek dengan kata-kata menghina semasa suspek ingin meminta mancis untuk menghisap merokok.

Polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisement