Anda di sini

Perbuatan lelaki curi tayar viral di media sosial

Advertisement

 Lelaki dirakam mengambil tayar simpanan daripada kereta pacuan empat roda yang diparkirkan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

TERSEBAR: Lelaki dirakam mengambil tayar simpanan daripada kereta pacuan empat roda yang diparkirkan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Perbuatan seorang lelaki mencuri tayar pacuan empat roda di sebuah kawasan tempat letak kereta berhampiran pusat beli-belah terkemuka di sini, yang berjaya dirakam orang awam, mendapat perhatian orang ramai.

Video berdurasi 0.59 saat itu menjadi viral di laman sosial Facebook serta disebarkan di aplikasi WhatsApp sejak kelmarin. Rata-rata pengguna media sosial yang menonton rakaman berkenaan mengutuknya dan berharap pihak berkuasa segera bertindak.

Lelaki berbaju hitam dan berseluar jeans berwarna biru itu dilihat mengambil tayar simpanan dari sebuah kereta pacuan empat roda jenis D-Max dan menggulingkan tayar itu sebelum membawa masuk ke dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna perak.

Perbuatan terbabit dipercayai dirakam secara sembunyi oleh orang awam yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata pihaknya belum mendapat apa-apa laporan berkenaan kejadian itu.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berkaitan kejadian dan menasihatkan orang awam agar  sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri serta kenderaan bagi mengelak perkara sama berlaku.

Advertisement