TAWAU: Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip mengesahkan sudah mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan seorang guru membelasah 12 murid tahun empat sebuah sekolah rendah di Kota Belud.
Arahan itu dikeluarkan berikutan kenyataan viral menerusi Facebook oleh pemilik akaun Sherlyn Madawal yang mendakwa seorang guru sebuah sekolah rendah di Kota Belud, membelasah adik perempuannya.
Pemilik akaun terbabit mendakwa guru itu bukan hanya memarahi pelajarnya, tetapi turut menampar, menerajang, mencekik dan menghentak kepala mereka di atas meja.
Malah, pemilik akaun berkenaan turut mendakwa adik perempuannya kini mengalami trauma akibat ditampar dan ditendang di kepala oleh gurunya.
Mengulas dakwaan itu, Jame berkata pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Pendidikan Kota Belud sudah diminta memeriksa hal terbabit.
“Saya sudah membaca kenyataannya di dalam Facebook,” katanya di sini kelmarin ketika diajukan pertanyaan daripada pemberita mengenai perkembangan kes itu.
Beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai insiden terbabit dan pihaknya bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes itu.
Menurutnya, sekiranya dakwaan terbabit benar-benar berlaku, pihaknya akan mengambil tindakan sesuai mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan.
“Kes sebegini adalah kes terpencil yang kadang-kadang berlaku sama ada berpunca daripada pelajar itu sendiri dan mungkin juga disebabkan oleh guru.
“Guru juga manusia dan kadang-kadang terbawa-bawa masalah peribadi mereka (sehingga ke sekolah),” katanya.
Jame berkata, kejadian sedemikian jarang berlaku di negeri ini dan berdasarkan rekod terdahulu, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap kes-kes serupa.
“Kita memberikan mereka (guru yang terlibat) khidmat kaunseling dan ada yang kita tukarkan ke sekolah lain,” katanya.
Untuk rekod, sehingga jam 5 petang kelmarin, perkongsian Sherlyn Madawal di akaun facebooknya mengenai insiden terbabit dikongsi hampir 1,200 pengguna Facebook.