Anda di sini

Bekalan air terputus hampir sebulan, penduduk lapor polis

Advertisement
 Penduduk kampung menunjukkan laporan polis yang dibuat sebagai bantahan terhadap masalah air yang berlaku.

BANTAHAN: Penduduk kampung menunjukkan laporan polis yang dibuat sebagai bantahan terhadap masalah air yang berlaku.

TAWAU: Ekoran bekalan air terputus hampir sebulan, sekumpulan penduduk di Kampung Jawa Kongsi 10 Jalan Sin Onn Tiku di sini bertekad untuk membuat laporan polis.

Laporan dibuat sebagai bantahan kepada Jabatan Air agar lebih bertanggungjawab dan telus dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kita berharap dengan aduan ini masalah air di kampung ini akan dapat diselesaikan segera,” kata Pengerusi JKKK Jawa Kongsi 10 Tawau Nasip Selamat.

Masalah bekalan air terputus dan catuan bekalan di kampung mereka itu memang berlaku setiap tahun dan pelbagai aduan telah dibuat termasuklah kepada Biro Aduan Awam Negeri Sabah tetapi masalah itu belum selesai.

Masalah itu katanya, sering menghantui penduduk kampung terutama sekali pada musim perayaan.

“Lebih mendukacitakan apabila penduduk tidak diberikan sebarang notis pemberitahuan masalah bekalan sekali gus menyukarkan penduduk untuk menguruskan simpanan air,” katanya.

Selain itu tambahnya, hanya penduduk yang membuat aduan sahaja akan diberikan penghantaran air itu pun diberikan selepas dua hingga tiga hari aduan dibuat.

“Apa salahnya perkhidmatan menghantar air ini diberikan kepada semua penduduk yang terjejas dan tidak hanya kepada mereka yang membuat aduan sahaja,” katanya.

Nasip yang mewakili penduduk kampung turut meluahkan kekesalan terhadap masalah berkenaan yang menurutnya hanya tertumpu di kawasan mereka manakala dua kampung berhampiran iaitu Kampung Padang 6 dan Kongsi 8 tidak mengalami masalah itu.

Advertisement