Anda di sini

Lima keluarga terima kunci rumah baharu

Advertisement

 Ellron menyerahkan kunci rumah baharu kepada empat keluarga pada majlis ringkas di Kampung Simpang Empat pada Selasa lalu. Turut kelihatan Maria (dua kiri) dan Primus (kiri).

PRIHATIN: Ellron menyerahkan kunci rumah baharu kepada empat keluarga pada majlis ringkas di Kampung Simpang Empat pada Selasa lalu. Turut kelihatan Maria (dua kiri) dan Primus (kiri).

KENINGAU: Lima keluarga di Kampung Simpang Empat Sook yang rumah mereka diterbangkan angin kencang tahun lalu kini lebih selesa memiliki rumah baharu di sini pada Selasa lepas.

Bantuan rumah itu adalah hasil tindakan kerajaan melalui wakil rakyat kawasan Sook dan kini rumah-rumah berkenaan telah siap.

Majlis penyerahan kunci rumah kepada kelima-lima keluarga itu telah dilakukan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Sook Datuk Ellron Alfred Angin di kampung itu kelmarin.

Kelima-lima keluarga itu terdiri Kunalispius Jabi, Ali Anthony, Jamly Jaikul, Perin Kin Soon dan Florence Jiun.

Ellron berharap dengan kemudahan rumah baharu itu akan dapat memberikan keselesaan kepada kehidupan mereka sekeluarga.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab sebagai wakil rakyat membantu mereka yang memerlukan apatah lagi mereka yang ditimpa bencana alam.

“Rakyat perlu menghargai sumbangan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib dan kebajikan rakyat luar bandar,” katanya.

Ellron berkata, penyambungan dan pendawaian elektrik ke rumah-rumah mangsa juga akan dibantu sementara dewan kampung itu yang turut terjejas teruk semasa angin ribut itu sedang diusahakan untuk pembinaan semula.

Majlis penyerahan kunci itu turut dihadiri oleh isteri Ellron, Datin Maria Angin, Penolong Pegawai Daerah Sook Primus Takom. Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Charles Ikang, Ketua Kampung David Gimbang dan penduduk kampung.

 

 

Advertisement