Anda di sini

Kebajikan ibu tunggal tidak dipinggir: Bobbey

Advertisement

NABAWAN: Kerajaan tidak sesekali meminggirkan kebajikan para ibu tunggal dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Bobbey Suan berkata, pihak kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang sosioekonomi dan kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup para ibu tunggal agar mereka tidak lagi mengharapkan kebergantungan bantuan semata-mata pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog bersama ibu tunggal anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Nabawan, di sini Selasa lalu.

Justeru katanya, setiap ibu tunggal perlu berikhtiar untuk mengubah nasib diri dan keluarga dengan berusaha memperbaiki diri, berdikari dan mempunyai disiplin yang tinggi supaya status sebagai ibu tunggal tidak dipandang serong oleh masyarakat sekeliling.

“Para ibu tunggal juga perlu bijak merebut peluang yang disediakan oleh agensi kerajaan berkaitan seperti mengikuti program seperti seminar kesedaran untuk membuka minda, serta kursus keusahawanan dan kemahiran yang boleh menjana ekonomi keluarga,” katanya.

Bobbey yang juga ADUN Nabawan berkata, program yang diadakan itu amat tepat kerana ia memberi peluang kepada para ibu tunggal mengutarakan sebarang permasalahan yang dihadapi kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Myrna Jimenez berkata, sepanjang tahun 2015 yang lalu lebih 7,000 ibu tunggal di seluruh negeri telah berdaftar di bawah jabatan itu.

Katanya, melalui pendaftaran itu, ia memudahkan pihaknya menyalurkan pelbagai bantuan daripada kerajaan kepada para ibu tunggal dan pada masa kini, pihaknya masih lagi berusaha untuk mendaftarkan sebahagian ibu tunggal yang belum lagi mendaftar.

Pada majlis itu, pelbagai pengisian diadakan antaranya sesi dialog bersama ahli panel pelbagai agensi, pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta pemeriksaan kesihatan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan, Ketua Daerah Nabawan Sayau Tangkap dan para pemimpin setempat.

 

 

Advertisement