Anda di sini

Naikkan kadar saman ada positifnya

Advertisement

Langkah proaktif meminimumkan pelanggaran peraturan jalan raya: JKJR

KOTA KINABALU: Cadangan menaikkan kadar saman bagi kesalahan lalu lintas dilihat sebagai usaha yang akan membantu meminimumkan pelanggaran peraturan jalan raya dalam kalangan pengguna.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Herdiansah Abdul Karim berkata, beliau melihat cadangan itu sebagai satu pendekatan pencegahan yang proaktif bagi meminimumkan pelanggaran peraturan jalan raya oleh pengguna.

Pada masa sama, ia juga dapat memacu kepada perubahan tingkah laku yang positif ke atas pengguna jalan raya dengan lebih cepat dan berkesan.

Beliau berkata, kebanyakan negara seperti negara-negara Kesatuan Eropah (EU) mengambil pendekatan meningkatkan kadar saman trafik dalam usaha untuk mengurangkan kadar pelanggaran peraturan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya.

Tindakan melanggar peraturan jalan raya menyebabkan kemalangan berlaku malah, ia bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.

“Negara Belanda juga telah meningkatkan kadar saman trafik sebanyak 20 peratus secara purata untuk semua jenis kesalahan trafik pada tahun 2008 dan meneruskan langkah itu pada tahun 2010 dengan mengambil kira kadar inflasi di negara berkenaan sebanyak empat peratus.

“Sesuai dengan peningkatan kadar saman trafik berkenaan, satu kajian pada tahun 2011 dilaksanakan dan hasilnya menunjukkan bahawa kadar peningkatan saman trafik sebanyak satu peratus mendorong penurunan kadar pelanggaran peraturan jalan raya sebanyak 0.23 peratus,” jelasnya.

Melihat statistik itu, Herdiansah berpendapat peningkatan kadar saman trafik mampu mendorong pengguna jalan raya agar lebih peka supaya tidak melakukan sebarang kesalahan trafik yang memerlukan mereka membayar denda yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata kepekaan dan kesedaran pengguna jalan raya mengenai kesan melanggar peraturan jalan raya khususnya dari segi saman trafik hanya boleh dipertingkatkan sekiranya pemantauan serta penguatkuasaan peraturan jalan raya dilaksanakan secara berterusan.

Ia termasuklah penguatkuasaan secara automatik atau AES (Automatic Enforcement System) yang akan meningkatkan lagi kadar persepsi untuk ditangkap pengguna jalan raya itu sendiri.

“Saya yakin tanpa pendekatan sistem penguatkuasaan secara berterusan, sebarang kenaikan kadar saman trafik tidak akan mencapai objektif yang diharapkan iaitu untuk mewujudkan satu perubahan tingkah laku positif dalam kalangan pengguna jalan raya berdasarkan tindakan punitif,” katanya.

Selain meningkatkan kadar saman trafik sebagai salah satu tindakan pencegahan secara proaktif, Herdiansah juga berharap agar pihak berkepentingan turut melaksanakan sistem mata demerit atau sistem KEJARA yang dilaksanakan sejak 1987 dengan lebih berkesan.

Berdasarkan sistem itu, ia bukan sahaja boleh menyebabkan pesalah didenda malah penggantungan serta pembatalan lesen juga boleh dikenakan mengikut sistem berkenaan.

Katanya, pelaksanaan sistem itu dengan lebih berkesan akan membantu mewujudkan satu persekitaran jalan raya yang lebih selamat daripada pesalah trafik yang sering melakukan kesalahan berulang di atas jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat pengenalan kepada pelaksanaan khidmat komuniti bagi pesalah trafik juga boleh dipertimbangkan.

Melalui pendekatan itu, pesalah trafik boleh diberikan tugas khidmat komuniti dengan tempoh masa yang ditentukan oleh mahkamah.

“Pada masa sama, saya sentiasa percaya bahawa tingkah laku pesalah trafik bukan sahaja boleh berubah melalui tindakan punitif tetapi, ia juga boleh berubah melalui pendekatan pendidikan.

“Oleh itu, pendekatan pendidikan melalui kursus rehabilitasi bagi pesalah trafik boleh juga dipertimbangkan dalam usaha mewujudkan satu tingkah laku baharu yang positif ke atas golongan ini.

“Kombinasi peningkatan kadar saman trafik, sistem penguatkuasaan secara automatik, sistem KEJARA dan pendekatan berasaskan khidmat komuniti, pendidikan serta rehabilitasi sudah pasti mampu mewujudkan satu budaya keselamatan jalan raya baharu dalam kalangan masyarakat pengguna jalan raya.

“Sekiranya cadangan kenaikan kadar saman trafik dilaksanakan, saya berharap agar pengguna jalan raya berfikiran positif ke atas pelaksanaan itu. Pengguna harus melihatnya bukan sebagai satu tindakan menghukum tetapi sebagai satu alat pencegahan agar kita mematuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan semua pengguna,” katanya.

Advertisement