Anda di sini

Sokong peniaga harga patut, kata Jainab

Advertisement

 Jainab (duduk tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemantauan Kenaikan Harga Barang dan Perkhidmatan Negeri Sabah.

KUASA PENGGUNA: Jainab (duduk tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemantauan Kenaikan Harga Barang dan Perkhidmatan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Pengguna di negeri ini disarankan untuk mengemukakan senarai premis perniagaan yang mengenakan harga secara berpatutan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, premis yang dicadangkan pengguna akan dimasukkan dalam senarai kedai harga patut di seluruh negeri.

Menurutnya, orang ramai boleh menyerahkan cadangan itu kepada Pegawai Daerah yang bertindak Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemantauan Harga Barangan dan Perkhidmatan di setiap daerah.

Bagaimanapun jelasnya, sebelum dipilih sebagai kedai harga patut, setiap premis berkenaan akan dikaji dan diselidik terlebih dahulu.

“Pemilihan ini melibatkan semua jenis premis perniagaan sama ada restoran, kedai runcit mahupun kedai perabot.

“Selepas dikaji, semua premis yang terpilih akan disenaraikan sebagai kedai harga patut selewat-lewatnya pada Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemantauan Kenaikan Harga Barang dan Perkhidmatan Negeri Sabah di sini kelmarin.

Jainab berkata, premis-premis terbabit akan diberikan pelekat khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan dengan harga murah.

Pada masa sama katanya, tindakan yang dilaksanakan itu juga mendorong penglibatan masyarakat dalam memantau kenaikan harga di premis-premis perniagaan.

Justeru, ia membantu kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengenal pasti premis yang mengenakan harga yang tidak berpatutan.

Selain itu, pihaknya juga giat memperkasakan usaha untuk mencari pihak yang bertanggungjawab dalam isu menaikkan harga barangan.

“Usaha ini dilakukan dengan kerjasama erat antara kementerian dengan KPDNKK, Kastam Diraja Malaysia serta beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

“Ini kerana, sukar untuk kita mengenal pasti siapa sebenarnya yang bertindak menaikkan harga barangan sama ada peniaga, pembekal atau pun pengilang.

“Sehubungan itu, kita mahu semua pihak saling bekerjasama dan bukan hanya mahu menyalahkan kerajaan semata-mata,” jelasnya.

Menurutnya, masyarakat kini lebih suka menviralkan sesuatu daripada melaporkan dan meletakkan beban kesalahan di tangan kerajaan.

Beliau menggesa orang ramai untuk menggunakan kuasa pengguna dalam melaporkan sesuatu isu agar masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan segera.

 

Advertisement