KUALA LUMPUR: “Saya tidak pasti sama ada hendak lari keluar dari rumah atau bersembunyi di bawah meja. “Pada mulanya, saya menyangka ia hanya gempa bumi kecil, tapi apabila gegarannya semakin kuat, barulah saya sedar ia bukan sesuatu yang biasa dan mula berasa takut.”
Demikian detik dilalui pelajar Malaysia, Clarissa Robert Jeyakumar, ketika gempa bumi melanda Christchurch, New Zealand, Ahad lepas.
Bagaimanapun, pelajar University of Canterbury itu berjaya mengumpul kekuatan dan menenangkan dirinya untuk terus tinggal di dalam rumah apabila menyedari gempa bumi selama 10 saat itu, agak kuat.
“Kemudian, saya menghubungi ibu bapa saya di Kajang untuk meyakinkan mereka saya dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Jeyakumar, 21, Naib Presiden (1) Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury, berkata ketika kejadian, dia seorang diri di rumah kerana tiga rakan serumahnya telah keluar.
Katanya ketika bencana alam itu berlaku, semua pelajar yang tinggal di tempat penginapan pelajar, berada di universiti dan mereka segera dipindahkan, manakala bangunan berkenaan diperiksa.
Jeyakumar, yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda Pengucapan dan Patologi Bahasa serta tinggal di Upper Riccarton, Christchurch, berkata gempa bumi itu berlaku selama 10 saat.
“Syukurlah, tiada sebarang perkara buruk berlaku di tempat tinggal saya. Beberapa tempat lain, terjejas, terutama yang terletak berhampiran pantai, tapi tidak di Upper Riccarton.
“Semua pelajar masih bercuti musim panas dan kelas kami akan bermula pada 22 Feb…setakat ini, kami tidak mendapat laporan ada rakyat Malaysia yang cedera atau terkorban,” katanya.
Seorang lagi pelajar Malaysia, Adam Munang, 19, berkata beliau berada di rumah bersama adik lelakinya, Albright, 18, apabila dia tiba-tiba terasa berlaku gegaran kuat menyebabkan komputer riba, buku, kabinet dan perabot turut bergegar.
“Gegarannya sungguh menakutkan, tapi kami tetap bertenang dan bersembunyi di bawah meja. Ini pengalaman pertama kami (berdepan gempa bumi).
“Bagaimanapun, ia tidaklah begitu menakutkan untuk memaksa kami mengambil keputusan meninggalkan Christchurch,” katanya kepada Bernama.
Adam, yang mendapat status penduduk tetap New Zealand dan mengikuti pengajian dalam bidang percukaian dan perakaunan di universiti sama, berkata kejadian itu berlaku selepas empat tahun dia dan keluarganya menetap di Lincoln, kira-kira 15-20km dari pusat bandar Christchurch.
Menurut laporan media, satu gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter berlaku berhampiran Christchurch, menyebabkan cenuram runtuh ke dalam laut.
Bagaimanapun, tiada kerosakan besar dilaporkan berlaku di bandar raya itu.
Gempa bumi yang melanda bandar raya itu pada 2011 meragut kira-kira 200 nyawa. — Bernama