KAJANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang mewujudkan pusat persediaan bagi pesalah juvana yang selesai menjalani hukuman bagi membantu mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata perkara itu merupakan sebahagian cadangan dalam pindaan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak 2015 yang akan dibahaskan pada Mac nanti.
“Perkara ini penting bagi mereka kerana selain pihak penjara memberikan pendidikan dan latihan yang diperlukan untuk hidup di luar sana, tetapi mereka juga harus bersedia untuk kembali hidup di kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tahanan reman kanak-kanak dan Sekolah Integriti Kajang di Penjara Kajang di sini semalam.
Dalam lawatan itu Rohani dibawa untuk melihat aktiviti 257 kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun yang ditahan reman di sini yang menyediakan kelas-kelas akademik, kerohanian dan kemahiran.
Rohani berkata dalam pindaan itu nanti, turut diselitkan adalah elemen kasih sayang kepada kanak-kanak termasuk pesalah juvana agar hukuman yang dijatuhkan kepada mereka mampu mendidik mereka untuk menjadi warga yang baik.
“Menjadi kerisauan kerajaan mengenai pesalah juvana yang telah bebas untuk berada kembali dalam masyarakat dan kami merasakan ada yang belum bersedia.
“Oleh kerana itu kami fikir mahu menyediakan seperti sebuah tempat persediaan kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang baharu,” katanya.
Katanya selain bekerjasama dengan pihak Jabatan Penjara Malaysia dalam pindaan undang-undang terbabit, kementerian turut mengadakan perbincangan dengan pihak mahkamah, polis, badan bukan kerajaan dan wakil-wakil persatuan masyarakat. — Bernama