Anda di sini

Kerajaan diminta batal hasrat bekukan eksport ikan segar

Advertisement

KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah memohon agar hasrat kerajaan membekukan penjualan ikan segar ke negeri di seluruh Malaysia dibatalkan.

Pengerusinya Arsani Arsat berkata, gabungan persatuan itu berharap kerajaan mampu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin walaupun perlu melalui beberapa prosedur kerana dagangan antara negeri-negeri dalam Malaysia perlu diteruskan.

“Kita hanya berharap menteri berkaitan mengkaji semula perkara ini agar tidak menjadikan perkara ini sebagai satu isu sentimen negeri.

“Perdagangan antara negeri dalam Malaysia sudah terjalin sejak merdeka dahulu dan tidak pernah ada sekatan dagangan antara negeri kecuali wujud isu wabak penyakit yang memudaratkan orang ramai…tetapi sekatan itu bukan untuk tempoh masa panjang.

“Sekarang kerajaan menyatakan bekalan ikan segar di Sabah tidak mencukupi dan ingin menyekat aktiviti dagangan antara negeri… kita tidak dapat menerimanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini kelmarin.

Arsani berkata, ikan segar yang dieksport ke negeri lain adalah dikategorikan sebagai ‘ikan rakyat’ yang mana terdiri daripada spesies ikan seperti basung, tenggiri, pari, putih, kembung dan sebagainya.

Katanya, ikan-ikan itu bukannya ikan untuk sektor pelancongan sebaliknya untuk hidangan kepada masyarakat umum.

“Kerajaan menyekat eksport ikan dari Sabah berdasarkan tiga perkara iaitu, kekurangan bekalan ikan segar, harga ikan mahal dan untuk industri pelancongan.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa Sabah tidak pernah mengalami kekurangan bekalan ikan segar untuk satu tempoh masa yang lama malah kita mempunyai bekalan yang lebih daripada mencukupi.

“Cuma ada satu tempoh tertentu ia berkurangan dan ini kita tidak nafikan, tetapi ia disebabkan perkara yang boleh dijelaskan,” katanya.

Katanya, faktor musim kemarau, air laut panas merupakan sebahagian daripada faktor kekurangan ikan tetapi ia adalah bermusim.

“Bagaimanakah pula keadaannya sekiranya Sabah pada suatu hari nanti akan mengalami kekurangan spesies ikan tertentu dan negeri lain di Malaysia tidak mengeksport ikan mereka ke Sabah? Ia sudah pasti menjadi satu isu sentimen negeri.

“Kita hanya eksport ikan segar ke Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan sahaja kerana kita mengalami kelebihan bekalan.

“Di sini, bekalan ikan berkurangan selalunya pada bulan Disember sehingga Februari, bulan Mac hingga September selalu mencukupi. Sebaliknya, di pantai timur bekalan ikan sentiasa mencukupi,” katanya.

Arsani berkata, harga ikan segar yang berbeza juga bergantung kepada bekalan tetapi ia bukan satu alasan untuk menyekat dagangan ikan ke negeri lain.

“Saya berharap ia tidak menjadi satu isu sentimen negeri memandangkan ia melibatkan perdagangan.

“Sabah mempunyai hubungan dagang yang baik dengan negeri lain di Malaysia sejak dahulu lagi, oleh itu banyak perkara perlu diambil kira sebelum melaksanakan penyekatan itu,” katanya.

 

Advertisement