Anda di sini

Kanak-kanak 10 tahun dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah

Advertisement

DUNGUN: Persatuan Anti Dadah AIDS Malaysia (PADM) mengesan kira-kira 10 kanak-kanak berusia 10 tahun terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di negara ini.

Penaungnya Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan diperalatkan oleh pihak tertentu untuk menjual dadah sekali gus mengheret kepada penyalahgunaan dadah.

“Pada tahun 2010, remaja berumur 15 hingga 17 tahun yang terlibat dengan kegiatan seperti ini namun pada tahun ini, kita kesan kanak-kanak seawal umur 10 tahun sudah mula terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral ini.

“Lazimnya kanak-kanak miskin, tercicir, terabai serta mengalami masalah keluarga akan lebih cenderung untuk dipengaruhi (terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas seminar Dadah dan HIV/AIDS dalam kalangan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti (JPJKK) negeri ACP Shahrin Ahmad dan Pengarah Politeknik PSMZA Mohd Pauzi Ibrahim.

Wan Rosdi berkata faktor persekitaran, pergaulan, kesempitan wang juga mendorong kanak-kanak berkenaan terjerumus ke dalam kancah tersebut.

Justeru, beliau memohon kerjasama pelbagai pihak termasuk polis dan IPT di negara ini agar dapat menangani masalah ini daripada terus berleluasa.

“Sekarang ini banyak agensi dan jabatan memberi sokongan jadi kita akan teruskan seminar dan program yang berkaitan termasuk di IPT dalam usaha pencegahan dan membasmi kegiatan itu,” katanya. — Bernama

 

Advertisement