Anda di sini

Kampung Mutiara: Mahkamah rayuan kekal keputusan tanah milikan kosong

Advertisement

PUTRAJAYA: Penduduk Kampung Mutiara gagal dalam rayuan mereka semalam untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang diperoleh pemilik dua bidang tanah milikan kosong yang diduduki mereka di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, sebulat suara menolak rayuan mereka selepas mendapati tiada merit dalam rayuan berkenaan.

Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad memerintahkan penduduk untuk membayar kos perundangan RM5,000.

Pada 3 Julai, 2012, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang memberikan Loke Leng Seak tanah milikan kosong seluas 1.4 hektar yang dibelinya pada 1991 melalui lelongan mahkamah.

Pada 20 April, tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk untuk mengetepikan perintah milikan kosong tanah berkenaan.

Pindaan writ saman yang difailkan Loke menamakan 18 penduduk sebagai defendan dan juga kesemua penghuni dan setinggan lain sebagai defendan.

Dalam pernyataan pembelaan mereka, penduduk mendakwa Loke tidak mempunyai hak milikan eksklusif ke atas tanah itu memandangkan dia hanya membeli tanah itu pada 1991 kerana mereka telah tinggal di Kampung Mutiara sejak 1970.

Penduduk mendakwa mereka bukan setinggan di tanah itu tetapi merupakan penduduk sah menduduki tanah itu dan mempunyai lesen yang tidak boleh ditarik balik untuk menduduki tanah itu.

Sebelum itu, peguam bela mereka V. Amareson meminta mahkamah membenarkan rayuan itu dengan menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi memberikan milikan kosong kepada Loke tanpa kehadiran perayu.

Di luar mahkamah, Amareson berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sam ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau menjelaskan keputusan mahkamah itu bermakna Loke boleh menguatkuasakan milikan kosong ke atas tanah itu dan meminta penduduk keluar dari kawasan tanah itu.

Loke diwakili Dinesh Nair. — Bernama

 

Advertisement