Anda di sini

Ibu, keluarga hanya mampu berdoa agar Sudarmin segera ditemui

Advertisement

TAWAU: “Hanya doa dan bertawakal yang mampu saya lakukan agar anak saya segera ditemui sama ada dia masih hidup ataupun meninggal dunia,” kata Sadariah Rahim, ibu kepada Sudarmin Aminuddin.

Sadariah, 50, yang ditemui di kediamannya di Kampung Kinabutan Kecil dekat sini semalam, berkata anggota keluarganya juga meminta jemaah masjid di kampungnya mendoakan agar anaknya segera ditemui.

Sudarmin, 31, kru ‘Floating Production Storage Off Loading Vessel (FPSO)’ dari kapal ‘FMSUV FOS LEO’, dilaporkan jatuh ke laut, Ahad lepas pada jam 2.10 petang, di kawasan pelantar minyak Bertam, kira-kira 86.7 batu nautika (BN) dari Tanjung Berhala, Kemaman dan 5 BN dari sempadan perairan negara.

Sadariah berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh wakil dari pejabat Sudarmin bertugas di Singapura, kira-kira jam 3.30 petang pada hari kejadian.

Beliau berkata kali terakhir Sudarmin menghubunginya ialah pada Sabtu, iaitu sehari sebelum kejadian.

“Ketika dia menelefon, saya sedang solat Maghrib. Lepas solat, saya dapati ada empat panggilan tidak dijawab dari anak saya (Sudarmin). Saya kemudian hubungi dia. Tetapi Sudarmin minta saya letak telefon kerana dia akan hubungi saya kemudian,” katanya.

Menurutnya, Sudarmin suka berjenaka setiap kali mereka berbual di telefon, dan ketika menghubungi Sudarmin buat kali terakhir, anaknya itu masih seperti biasa tetapi suaranya kurang bermaya seperti sedang mengalami selesema.

Difahamkan, Sudarmin telah bercerai dengan isterinya yang berasal dari Pahang beberapa tahun lepas dan mempunyai tiga anak lelaki berusia lima hingga sembilan tahun.

Sementara itu, kenyataan media Unit Perhubungan Awam Wilayah Maritim Timur (WILTIM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam, menyatakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Sudarmin bermula sejak tiga hari lepas.

Menurut kenyataan itu, Sudarmin yang berasal dari Tawau, Sabah dikatakan sedang menjalani latihan menyelamat ‘Fast Rescue Force’ di atas kapal berkenaan sebelum terjatuh.

“Semasa kejadian, keadaan laut dengan ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter manakala angin 20 hingga 30 kilometer sejam. TLDM Tanjung Gelang juga memaklumkan telah mengarahkan kapal KD Gempita ke lokasi kejadian untuk membantu operasi SAR,” menurut kenyataan itu. — Bernama

 

 

Advertisement