Anda di sini

Penempatan rumah setinggan membimbangkan penduduk

Advertisement
 Ewon (kiri) memotong reben pada perasmian Puncak Nagaya Lodge diperhatikan Bairi dan Japirin (dua kanan).

RASMI: Ewon (kiri) memotong reben pada perasmian Puncak Nagaya Lodge diperhatikan Bairi dan Japirin (dua kanan).

RANAU: Penduduk Kampung Karanaan Baru, di sini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap penempatan rumah-rumah setinggan bersebelahan kampung mereka, yang terletak di kawasan Tanah Merah kira-kira 4 kilometer dari pekan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh penasihat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bairi Othman yang menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah itu.

Menurut beliau, rumah-rumah setinggan di kawasan itu wujud sejak beberapa tahun lalu dan jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Apa yang membimbangkan kami ialah mengenai siapa pemilik sebenar rumah-rumah setinggan berkenaan malah dipercayai bahawa terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang turut menjadi penghuni kawasan itu.

“Bagi mengatasi masalah ini, kami mohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengenal pasti pemilik rumah setinggan itu dan melaksanakan tindakan sepatutnya bagi membendung penularannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Santai Bersama Pemimpin dengan JKKK Karanaan Baru dan perasmian inap desa Puncak Nagaya Lodge yang disempurnakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin.

Menurut Bairi, kawasan Kampung Karanaan Baru yang telah digazet dan diukur itu adalah seluas 22 ekar. Terdapat sebanyak 55 lot di situ yang kebanyakannya sudah diratakan oleh pemilik bagi membina rumah.

Bagaimanapun katanya, masalah mengangkut peralatan membina rumah timbul kerana ketiadaan jalan raya yang baik menuju ke situ. Justeru, mereka memohon supaya kerajaan memberikan bantuan termasuk bantuan penyambungan paip oleh Jabatan Air.

Dalam ucapan ringkasnya, Ewon yang juga pengerusi Barisan Nasional Ranau menggesa para pengusaha inap desa dan ejen pelancongan supaya merancang dengan sebaik mungkin strategi perniagaan mereka terutama bagi tujuan menarik pelancong berkunjung ke situ.

“Perancangan yang rapi dengan perlengkapan infrastruktur yang baik serta kedudukan lokasi yang sesuai dan menarik selalunya memberi kelebihan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negeri untuk melawat tempat ini,” katanya.

Bercakap mengenai kemudahan, Ewon berkata kerajaan sentiasa meneliti keperluan asas masyarakat termasuklah bekalan elektrik, air, jalan raya, tempat ibadat dan sebagainya dan berjanji akan menyampaikan masalah penduduk di situ kepada pihak berwajib.

Sementara itu, Puncak Nagaya Lodge milik Bairi yang terletak di atas sebuah bukit berhadapan pemandangan indah pekan Ranau, mempunyai enam bilik sewa dan sebuah rumah dua bilik yang lengkap dengan dapur memasak, baharu saja beroperasi tahun ini.

Bairi berkata, sewa sebuah bilik (dalam masa promosi) ialah RM38 manakala bagi rumah dua bilik adalah RM280. Promosi akan berakhir hingga hujung Ferbuari dan selepas itu sewa bilik akan dinaikkan kepada RM48 sebuah.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik Kementerian Sumber dan Teknologi Maklumat James Ingguru, Setiausaha Khas Japirin Sahadi, Pengerusi JKKK Karanaan Baru Maharin Mahali dan pemimpin setempat.

Advertisement