Anda di sini

Umat Islam digesa hayati amalan beragama sebenar

Advertisement

PUTATAN: Umat Islam hendaklah menghayati amalan beragama yang sebenar dalam menghadapi proses globalisasi, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Katanya, ini kerana Islam menolak sebarang konsep globalisasi yang bertujuan mahu memperluaskan budaya tertentu ke atas negara lain, termasuklah perkara yang bercanggah dengan sistem pembelajaran dan akidah Islam.

“Ini kerana kita tidak dapat menerima konsep globalisasi yang bertujuan memaksa untuk mengikut mana-mana pengajaran yang bercanggah dengan agama, nilai dan adabnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Pantai Barat Selatan di Dewan Sri Putatan, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, pihak yang tidak senang terhadap Islam sering menggunakan kaedah serangan budaya dengan menyelitkan pelbagai budaya songsang terhadap pemikiran umat Islam, khususnya golongan muda.

Justeru katanya, dalam membangunkan modal insan yang bebas daripada anarki bersifat rohani ini, maka kekuatan akidah serta akhlak berlandaskan rohaniah Islamiah menjadi senjata yang paling ampuh.

“Semua ini menjadi satu cabaran kepada umat Islam terutamanya pada era globalisasi dalam mempertahankan amalan beragama (tadayyun) dan membina semula tamadun berasaskan pemikiran agama Islam,” tambahnya.

Katanya, al-Quran merupakan sumber ilmu pengetahuan fizikal yang amat penting kerana di samping susunan surah ilmu tersirat serta sirih-sirihnya merupakan sumber metodologi pemikiran yang harus dikuasai oleh umat Islam.

Menurutnya, al-Quran tidak hanya dilihat dalam aspek penghafalan dan pembacaan untuk ibadah khusus sahaja, tetapi lebih penting ialah pemikiran umat Islam dalam melihat dunia dan akhirat harus dibentuk daripada corak serta struktur ilmu-ilmu yang telah disusun secara sistematik di dalam al-Quran itu sendiri.

Yahya berkata, langkah menjadikan pengajian al-Quran sebagai sebahagian daripada kurikulum di sekolah adalah bukti keprihatinan kerajaan yang mahu melihat umat Islam di negara ini berjiwa besar, terus maju dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat global.

“Ini kerana tiada ertinya negara menjadi maju tetapi umat Islamnya masih lagi ketinggalan.

“Justeru, untuk menjadi bangsa bermaruah menjelang tahun 2020, umat Islam di negeri ini mesti memperkasakan diri dengan kekuatan ekonomi dan menguasai pelbagai bidang ilmu terutama sains dan teknologi supaya dapat bergerak seiring dengan kemajuan dunia,” tegasnya.

Advertisement