Anda di sini

Pelancongan di Semporna perlu dipertingkatkan

Advertisement

SEMPORNA: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sektor pelancongan di daerah ini perlu dipertingkatkan agar dapat memperkukuhkan sumber pendapatan negara seterusnya memakmurkan rakyat.

Menurutnya, Semporna yang menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di dunia memerlukan prasarana yang lengkap di pusat-pusat pelancongannya.

“Kita perlu mempertingkatkan aspek kemudahan yang memberi keselesaan pelancong bukan hanya kemudahan prasaranya termasuk penginapannya, sistem pengangkutan udara, darat dan di laut juga amat penting.

“Untuk mengambil pelancong misalnya dari China, kita tidak mahu mereka berada di bas atau di kapal agak lama, kita perlu tingkatkan masa mereka melalui penerbangan terus ke Lapangan Terbang Tawau,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Tautan Kasih di Dewan Terbuka Kampung Sungai Nasip dekat sini, kelmarin.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, sumber tempatan juga perlu dimanfaatkan seperti tenaga kerja pakar ‘Dive Master’ dalam kalangan penduduk tempatan dipertingkatkan.

Katanya, latihan Dive Master juga perlu mengutamakan penduduk tempatan agar ia memberi ruang dan peluang pekerjaan yang akan memudahkan semua pihak.

“Selain itu, usaha memastikan keselamatan perlu dijayakan bersama dan saya telah meminta agar penduduk dan pemimpin kampung-kampung di seluruh daerah melaporkan sebarang anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat keselamatan kepada pasukan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya rakyat dan pemimpin dapat menggembleng tenaga memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan baik maka sektor pelancongan akan dapat dipertingkatkan meskipun dalam kegawatan ekonomi negara masakini.

Pada majlis itu, Dewan Terbuka Kampung Sungai Nasip yang bernilai RM20,000 telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Shafie dan beliau turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 untuk kerja-kerja menaik taraf surau di kampung itu menjadi masjid.

Shafie turut menyempurnakan penyampaian bantuan berupa barang keperluan harian kepada 240 orang penerima dari 11 kampung dari kalangan orang miskin.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO Semporna Manis Muka Dara, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Semporna Datuk Azis Jamman dan Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas.

Advertisement