Anda di sini

ITCC bakal sediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan

Advertisement

PENAMPANG: Pusat Teknologi dan Komersial Penampang (ITCC) bakal menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya penduduk di sekitar daerah Penampang.

Pengurus Besar Sabanilam Enterprise Sdn Bhd Caesar Mandela Malakun berkata, peluang sedemikian mampu memberi ruang kepada penduduk tempatan di negeri ini untuk mendapatkan pekerjaan.

“Setakat ini, ITCC memiliki 500 pekerja dan dari bahagian pembinaan pula, kami memberi peluang kerjaya kepada lebih dari 3,000 orang.

“Justeru, setelah siap sepenuhnya ITCC ini, kami sasar untuk membuka lebih 10,000 peluang pekerjaan dari pelbagai bahagian seperti bahagian pejabat, hotel, pengurusan pusat beli-belah dan lain-lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hotel The Manhattan Suites serta sambutan Tahun Baharu Cina,” di sini kelmarin.

Selain itu Caesar berkata, proses pembinaan pusat beli-belah ITCC itu kini sudah mencapai 95 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Manakala katanya, pembinaan Hotel The Manhattan Suite pula yang baharu dilancarkan kelmarin sudah mencapai 30 peratus siap.

“Hotel yang berkonsep suasana kerja buat generasi muda kini dijangka akan siap sepenuhnya pada Disember ini walaupun pelbagai cabaran terpaksa diharungi berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Namun, kami percaya bahawa pertumbuhan ekonomi akan pulih termasuklah aspek pelaburan yang akan meningkat semula pada tahun ini,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, hotel itu juga mampu memberi fasiliti terbaik bagi meningkatkan pemasaran sekali gus membuktikan bahawa standard antarabangsa turut dipraktikkan di dalam negeri ini.

Selain itu, Caesar turut memberi keyakinan kepada semua pelanggannya bahawa kejadian banjir yang berlaku sebelum ini tidak melibatkan sekitar bangunan berkenaan.

“Kita sedia maklum bahawa kawasan ini kerap berlaku banjir, walau bagaimanapun, pembinaan bangunan ini adalah selamat sepenuhnya dan insiden seperti itu tidak akan berlaku.

“Hal ini kerana, struktur pembinaan tapak bawah bangunan ITCC amat tinggi dan memiliki penyelenggaraan yang lengkap,” katanya.

Terdahulu, pada pelancaran hotel berkenaan, pihak ITCC turut mengadakan rumah terbuka bersempena Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah berkenaan.

Pelbagai persembahan disediakan bagi menghiburkan tetamu  seperti tarian singa, tarian naga dan lain-lain.

Hadir sama Pengerusi Malakun Holding Sdn Bhd Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun, Pengerusi GERAKAN Sabah Datuk Gordon Leong dan Timbalan Setiausaha Presiden Hal Ehwal Perniagaan Masyarakat Cina Selangor Ronald Pua.

Advertisement