Anda di sini

Rosnah akan pastikan cadangan naik taraf jalan raya di Kg Kaiduan diberi keutamaan

Advertisement

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin akan memastikan rayuan penduduk berhubung cadangan menaik taraf jalan raya di Kampung Kaiduan diberi keutamaan demi kemudahan serta keselesaan penduduk terlibat.

Menurutnya, cadangan berkenaan akan dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah selaku perancang projek-projek pembangunan di sesebuah daerah untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, pihaknya akan memberi keutamaan kepada rangkaian jalan raya yang menuju ke arah bukit memandangkan kawasan terbabit mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Kita akan memastikan perkara ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak JKR Daerah memandangkan jalan raya ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sekiranya permohonan ini tidak termasuk dalam perancangan pembangunan JKR Daerah, kita akan berusaha menyuarakan perkara ini kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program Santai bersama penduduk Kampung Kaiduan, baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Juil Nuantim serta Presiden Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (AGARAS) Michael Frederick.

Dalam pada itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu, pada tahun 2013 lalu jalan raya sejauh enam kilometer (km) yang telah dibangkitkan penduduk sebelum ini telah pun diselesaikan.

“Bagi rangkaian jalan raya yang berbaki 16km yang belum diturap itu akan diteruskan lagi bermula pada tahun ini, “ katanya.

Justeru Rosnah turut berharap perkara yang ditimbulkan ini dapat diselesaikan segera dalam tempoh terdekat demi kesenangan penduduk kampung menjalankan aktiviti seharian.

Advertisement