Anda di sini

Kedaifan hidup pasangan warga emas dapat perhatian

Advertisement

KOTA KINABALU: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina seakan tidak lagi dirasai oleh kedua-dua pasangan warga emas ini.

Akibat dibelenggu kemiskinan, setiap tahun mereka hanya mampu melihat warga Tionghoa lain meraikan perayaan istimewa itu.

Bagi Liew Yun Pin, 83, kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bukanlah lagi menjadi  keutamaan lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatan isterinya Kong Nyuk Hiong, 71, yang tidak berapa mengizinkan.

Menurutnya, sejak 30 tahun lalu, mereka tidak lagi mampu meraikan perayaan utama itu dalam keadaan yang meriah dan besar-besaran.

Ditambah lagi kedaifan rumah yang mereka diami sejak dahulu kerana begitu usang dan hanya berlantaikan tanah.

Liew turut mengakui hasil pendapatannya dari menjual ubat herba tidak mampu menampung perbelanjaan harian mereka.

“Seawal jam 6 pagi lagi saya akan keluar rumah untuk menjual ubat herba di kawasan Foh Sang Luyang dan pulang kira-kira jam 3 petang.

“Selalunya saya hanya akan mendapat hasil jualan ubat herba sekitar RM20 hingga RM30. Duit hasil jualan pula akan digunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan isteri saya,” katanya.

Beliau ditemui di rumahnya di Kampung Gudon Manggatal dekat sini sempena lawatan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid kelmarin.

Selain menjual herba, Liew juga ada bercucuk tanam di belakang rumah dan mendapat sumber bekalan air dari perigi berdekatan.

Liew berkata, isterinya mengalami masalah jantung dan memerlukan perhatian khusus. Justeru, beliau perlu bekerja keras untuk menampung perbelanjaan perubatan berkenaan.

Ada masanya, beliau terpaksa menahan lapar demi memastikan makanan dan ubat-ubatan isterinya mencukupi.

“Saya pernah tidak makan dan hanya meminum air sahaja kerana saya mahu dia (isteri) dapat makan dengan teratur serta ubat untuk kesihatannya.

“Sejak 2009, isteri saya mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

 

Advertisement