Anda di sini

Anggota polis maut kereta peronda terbabas

Advertisement

SANDAKAN: Seorang anggota polis maut dan seorang lagi cedera dalam nahas jalan raya selepas kereta peronda yang mereka naiki terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di KM33 Jalan Sandakan-Telupid, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata pemandu kereta peronda polis jenis pacuan empat roda itu, Koperal Khairul Azmuddin Zulkiflie, 32, maut di tempat kejadian.

Katanya seorang lagi anggota polis, Sub-Inspektor Mohd Awang Abdulah, 56, turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu dan menerima rawatan di Hospital Beluran.

Kedua-dua mangsa merupakan anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan terbabas sendiri lalu melanggar besi penghadang jalan.

“Siasatan juga mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus namun pemandangan gelap kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi lampu jalan,” katanya di sini semalam.

Khairul Azmuddin yang berasal dari Kuala Lumpur, meninggalkan seorang isteri Maslina Ampong, guru tadika yang berasal dari Kampung Drum-Drum, Beluran.

Pasangan itu mempunyai dua anak. — Bernama

Advertisement