Anda di sini

Masuk Sabah secara haram: Sepuluh warga asing dipenjara dan sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Sepuluh warga asing antaranya seorang wanita yang memasuki Sabah secara haram, dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap semua tertuduh, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 (1) (c ) Akta Imigresen 1959/63.

Hukuman yang diperuntukkan ialah denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tempoh lima tahun, atau kedua-duanya sekali, serta tidak melebihi enam sebatan.

Mereka yang terdiri daripada buruh, tukang kayu, penjual ikan dan penganggur sudah berada di negeri ini antara tiga hari hingga empat tahun.

Dalam rayuan, semua tertuduh yang berusia antara 22 hingga 57 tahun, memohon hukuman diringankan dan tempoh penjara dikira dari tarikh tangkapan, serta segera dihantar ke negara asal.

Pegawai Pendakwa Insp Azaman Hamat meminta hukuman yang setimpal dikenakan kepada semua tertuduh.

Tambahnya, hasil semakan dengan pihak imigresen mendapati mereka tidak mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal di Sabah.

Bagaimanapun, tiada sebatan dikenakan dikenakan terhadap wanita dan yang berusia 50 tahun ke atas.

Sementara itu, seorang lagi wanita warga asing berusia 27 tahun dikenakan penjara enam bulan, oleh mahkamah atas kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh yang ditetapkan.

Emelda Palan mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (c ) akta sama, yang boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000, atau penjara maksimum lima tahun, atau dengan kedua-duanya sekali.

Azreena memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen, selepas menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement