Anda di sini

Lapor kepada Tribunal Pengguna untuk selesai isu penipuan terhadap pengguna

Advertisement
 Jainab (tiga kanan) diiringi Timbalan Pengarah KPDNKK Yahya Sujak (kanan) dan pegawai kanan KPDNKK serta Skuad Pengguna Sabah melakukan pemantauan harga barangan sempena Skim Harga Kawalan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2016, di Pasaraya Giant Megallong Mall, pada Khamis.

GUNA: Jainab (tiga kanan) diiringi Timbalan Pengarah KPDNKK Yahya Sujak (kanan) dan pegawai kanan KPDNKK serta Skuad Pengguna Sabah melakukan pemantauan harga barangan sempena Skim Harga Kawalan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2016, di Pasaraya Giant Megallong Mall, pada Khamis.

PENAMPANG: Pengguna di negeri ini disaran agar menjadikan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai saluran alternatif bagi menyelesaikan isu kepenggunaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, selain melaporkan mengenai isu penipuan terhadap pengguna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), orang ramai juga disaran agar melaporkan kes penipuan membabitkan isu kepenggunaan kepada TTPM.

Beliau berkata, untuk kesalahan penipuan kecil, pengguna sebenarnya boleh bawa kes mereka ke TTPM yang mana, ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh 40 hari selepas proses pemfailan kes dilakukan.

Di samping itu, beliau juga menyarankan media agar menguar-uarkan tentang mana-mana syarikat yang terlibat dalam penipuan di tribunal pengguna agar orang ramai dapat mengelak daripada terlibat dengan syarikat atau peniaga berkenaan.

Dengan tersebarnya maklumat mengenai syarikat atau peniaga terbabit, ia menjadi peringatan kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya melakukan penipuan kepada pengguna.

Dalam pada itu, Jainab turut menasihatkan pengguna agar bertindak dengan bijak dan melaporkan mengenai kenaikan harga barangan kepada agensi kerajaan berkaitan dan bukannya menyebarkan melalui laman media sosial.

Katanya, laporan secara rasmi berserta bukti amat penting bagi membolehkan tindakan diambil ke atas mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita nasihatkan pengguna agar berhati-hati ketika membuat pembelian kerana ada juga antara peniaga yang cuba menipu.

“Jika pengguna mendapati dirinya tertipu, saya nasihatkan agar buatlah laporan secara rasmi dan bukan viralkan dalam Facebook,” katanya ketika melakukan pemantauan dan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016, di Pasaraya Giant Megallong Mall, di sini pada Khamis.

Mengenai pemantauan itu Jainab berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat pasar raya berkenaan meletakkan harga yang mengelirukan pengguna.

“Saya melihat ada barangan yang dijual diletakkan harga RM6.99 yang mana jika dibundarkan ia menjadi RM7. Jika ingin menurunkan harga barangan letaklah harga RM 6.95 dan jika tidak mampu, letak harga RM7. Ianya lebih mudah dan tidak mengelirukan pengguna,” jelasnya.

Beliau juga menyarankan mana-mana peniaga agar meletakkan senarai skim harga kawalan di tempat yang mudah dilihat pengguna di premis masing-masing. Ia akan memudahkan pengguna melihat senarai berkenaan ketika membuat pembelian.

Katanya, sejak tiga tahun menjadi menteri di KPMHEP itu, beliau dapati masih banyak peniaga atau pekedai yang tidak mengeluarkan senarai harga barangan kawalan sempena musim perayaan ini.

Beliau juga menasihatkan peniaga agar meletakkan tanda harga warna merah jambu bagi barangan harga terkawal agar pengguna dapat membezakan barangan harga terkawal dengan barangan lain.

Advertisement