Anda di sini

Penantian 456 penduduk berakhir

Advertisement

 Musa menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh ADUN Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dan Pengarah Tanah dan Ukur Safar Untung (kanan).

SELESAI: Musa menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh ADUN Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dan Pengarah Tanah dan Ukur Safar Untung (kanan).

KINABATANGAN: Sebanyak 459 geran tanah di daerah Kinabatangan dan Sandakan diserahkan bagi menamatkan penantian sekian lama penduduk enam kampung di situ.

Daripada jumlah itu, sebanyak 141 geran di daerah Kinabatangan melibatkan lima kampung iaitu Perpaduan, Sentosa Jaya, Batu Putih, Perpaduan Datu Ugi dan Bukit Garam.

Manakala bagi daerah Sandakan, seramai 318 menerima geran tanah di Skim Penempatan Suan Lamba.

Majlis penyerahan geran tanah berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Sukau, petang kelmarin.

Musa yang juga Menteri Kewangan dalam ucapannya memberitahu kerajaan telah melakukan pemberian kelulusan tanah kepada rakyat.

“Saya telah meminta Jabatan Tanah dan Ukur supaya mempercepatkan pengeluaran geran tanah kepada rakyat.

“Rakyat sudah lama menunggu geran tanah mereka sekian lama.

Kita mesti keluarkan geran kepada mereka, ini adalah hak rakyat,” katanya.

Musa menasihati penduduk yang mendapat geran berkenaan agar mengusahakan tanah mereka dan bukannya menjual tanah itu untuk kepentingan jangka pendek.

“Majukan tanah itu untuk anak cucu kita. Usahakan sama ada bidang pertanian atau pelancongan yang boleh meningkatkan ekonomi,” katanya.

Beliau juga menafikan kerajaan memberi kelulusan tanah kepada syarikat, tauke atau pihak tertentu.

Jelasnya, kerajaan kini meluluskan pemberian tanah kepada rakyat di negeri ini untuk dimajukan sendiri oleh rakyat bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Advertisement