Anda di sini

Kes kemalangan maut perlu langkah drastik

Advertisement

KENINGAU: Kes kemalangan jalan raya melibatkan kematian di daerah Keningau adalah amat membimbangkan sekiranya tidak ada kesedaran dalam kalangan pengguna jalan.

Berdasarkan statistik oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, kemalangan maut di daerah Keningau, Tambunan, Sook dan Nabawan setiap tahun terus meningkat, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin pada Rabu.

Berucap melancarkan Ops Selamat Ibu Pejabat Polis Daerah peringkat Pedalaman Atas di stesen Petronas Keningau, beliau berkata kes kemalangan menjelangnya perayaan begitu merisaukan dan perlu ada langkah drastik oleh pihak penguat kuasa terutama sekali Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mengikut statistik kemalangan jalan raya bagi daerah ini pada 2015, sebanyak 33 kes kemalangan maut melibatkan 38 kematian dicatatkan berbanding 2014 sebanyak 30 kes melibatkan 30 kematian.

“Ini menunjukkan peningkatan jumlah kes kemalangan maut adalah sebanyak tiga kes dengan lapan kematian pada 2015.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat oleh polis, punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu dan pengaruh alkohol yang tinggi,” katanya.

Sairin yang juga ADUN Liawan berkata, lokasi-lokasi kemalangan yang sering terjadi ialah di Jalan Keningau-Tambunan dan Jalan Keningau-Kimanis.

Katanya, sepanjang bulan Januari tahun ini terdapat dua kes kemalangan maut dicatatkan.

“Saya menasihat kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dengan sentiasa mengingati orang yang tersayang.

“Jangan memandu ketika dalam keadaan mabuk dan mengantuk dan elakkan menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana ia adalah penyumbang kepada kemalangan,” katanya.

Pada masa sama, Sairin juga meminta agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dengan tidak memandu laju serta menggunakan laluan yang betul.

Beliau juga menasihatkan pengguna jalan supaya sentiasa memeriksa kenderaan mereka agar lengkap dengan cukai jalan, lesen memandu, tayar yang baik, ada lampu isyarat dan brek berkeadaan baik serta berfungsi sebelum memulakan perjalanan.

Pada masa sama, beliau juga meminta agensi penguat kuasa seperti polis dan JPJ agar bertindak lebih tegas kepada pengguna jalan raya yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Sairin meminta agar kerajaan terutama sekali Jabatan Kerja Raya melaksanakan cadangan pembinaan jalan alternatif dari Kampung Toboh Baru hinggalah ke Kampung Duruk sebagai langkah awal untuk mengatasi kesesakan jalan yang berlaku di daerah itu terutama sekali di kawasan pekan.

“Saya percaya dengan adanya cadangan jalan baru ini, sudah tentu ia dapat mengelakkan kesesakan yang lebih teruk pada masa akan datang memandangkan Keningau dalam tempoh lima tahun akan datang akan berkembang pesat dengan pembinaan beberapa pusat komersil yang akan menjadi tarikan kepada orang ramai bukan sahaja dari kawasan pedalaman tetapi juga dari pantai timur, pantai barat dan juga dari Brunei dan Sarawak, apabila Lebuhraya Pan Borneo sudah siap sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong memberitahu, tujuan Ops Selamat itu adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan khasnya kemalangan maut, melancarkan aliran trafik serta memberi tumpuan utama kepada operasi di kawasan kerap berlaku kemalangan dan kawasan punca kesesakan semasa pergerakan kenderaan sebelum dan selepas Tahun Baharu Cina.

Selain itu katanya, membuat penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang menyumbang kepada kemalangan di daerah itu serta membuat pencegahan jenayah di kawasan yang kerap kali berlaku jenayah.

“Konsep penugasan Ops Selamat memberi penekanan yang serius kepada pesalah lalu lintas iaitu penguatkuasaan menyeluruh.

“Mengatur gerak semua pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan, rondaan bermotosikal dan berkereta di lokasi-lokasi hot spot kemalangan, tugas statik, ‘point duty’ dan kawalan lalu lintas di lokasi yang berlaku kesesakan dua hari sebelum perayaan dan dua hari selepas perayaan,” katanya.

Douglas berkata, pada masa yang sama, sekatan jalan raya dan operasi bersepadu elemen Ibu Pejabat Polis Daerah serta mengedarkan borang balik kampung kepada orang ramai yang balik kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.

“Saya meminta pengguna jalan raya agar lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika memandu kenderaan mereka di atas jalan. Pandulah dengan cermat, biar lambat asalkan selamat,” katanya.

Pada majlis itu, Sairin bersama Douglas, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ahli perniagaan turut mengedarkan ‘goodies’ dan risalah kepada beberapa kenderaan yang melalui sepanjang jalan berhadapan dengan stesen Petronas itu.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Daerah OKK Mohd Amir Arif, Ketua Perhubungan Parlimen Keningau Augustine Nain, wakil Pegawai Daerah Yamin Karinong, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bingkor Kennedy John, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan Sahanip Jamil, Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Keningau Raymond Koh dan Pengurus Stesen Petronas Wilson Tambakau.

Advertisement