Anda di sini

Iltizam Adenan: Luar bandar bukan lagi kawasan mundur

Advertisement

Oleh Saibi Gi//

adenan-UBO

DENGAN keluasan 124,449 kilometer persegi, Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dengan 37.7 peratus daripada keseluruhan luas negara ini.

Dari segi jumlah penduduk, mengikut statistik rasmi kerajaan pada 2010, Sarawak mempunyai kira-kira 2.5 juta orang penduduk.

Kira-kira 54 peratus daripada jumlah itu merupakan penduduk bandar.

Tidak ada perangkaan khusus mengenai keluasan bandar dan luar bandar.

Di Sarawak ada dua bandar raya – Kuching dan Miri. Manakala yang lain seperti Sibu dan Bintulu merupakan bandar.

Berdasarkan situasi itu, maka kawasan yang lain di Sarawak merupakan luar bandar, dan ia masih luas terutama dari aspek pembangunan infrastruktur. Tetapi tidak bermakna semua kawasan luar bandar tidak dilengkapi jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Pembangunan luar bandar merupakan satu agenda kerajaan yang berterusan dan komitmen itu dibuktikan dengan wujudnya berbagai-bagai polisi menjurus ke arah itu.

Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri, beliau memberi penekanan lebih terhadap usaha membangunkan luar bandar – bukan menafikan usaha pucuk pimpinan sebelum ini.

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika menjadi Ketua Menteri juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan luar bandar. Antara yang masih dilaksanakan oleh kerajaan pada masa sekarang ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Taib mahu membangunkan kawasan luar bandar menerusi proses industrialisasi. Di bawah SCORE, kawasan Samalaju dibangunkan sebagai kawasan perindustrian dengan menarik masuk pelaburan asing agar membuka loji pengeluaran berteknologi tinggi mereka.

Setakat Ogos 2015, sejumlah 20 projek diluluskan dalam SCORE dengan nilai pelaburan RM30.6 bilion.

Dengan wujudnya kegiatan industri di luar bandar seperti Samalaju, kawasan sekelilingnya akan menerima manfaat seperti pembinaan jaringan jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain.

Selain Samalaju, SCORE mempunyai empat kawasan pertumbuhan utama lain iaitu Tanjung Manis, Mukah, Baram dan Tunoh.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kawasan luas SCORE juga akan dibangunkan.

“Transformasi kawasan-kawasan ini agar menjadi pusat ekonomi luar bandar akan meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” kata Adenan pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-17 pada 17 Ogos 2015.

Pada pembentangan Bajet Negeri 2016, Adenan memaklumkan RM500 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pembangunan luar bandar menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Ia katanya adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan RTP di seluruh negeri.

Pada April 2015 menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan turut memohon peruntukan tambahan RM500 juta menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada tahun lepas.

Bajet Negeri 2016 turut menggambarkan betapa seriusnya Adenan dalam usaha membangunkan luar bandar dengan menyediakan peruntukan besar RM2.65 bilion, dan ia merupakan peningkatan berbanding RM2.35 bilion bagi tujuan sama pada 2015, juga RM2.19 bilion pada 2014.

“Ini juga adalah sejajar dengan komitmen kita untuk lebih fokus terhadap program-program dan projek-projek di luar bandar dalam usaha mempercepatkan transformasi luar bandar selain membuka ruang pembangunan di luar bandar demi manfaat penduduk di kawasan tersebut,” ujarnya.

Menurut penganalisis politik tempatan, Profesor Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), langkah Adenan memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar amat penting untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Dengan kepesatan pembangunan di luar bandar, akan secara langsung memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi, dan seterusnya kualiti hidup di luar bandar.

“Oleh itu, mengambil kira status Sarawak sebagai sebuah negeri yang berpendapatan sederhana tinggi, ini merupakan tindakan bijaksana dan tepat untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di luar bandar. Hal ini membuktikan keprihatinan beliau untuk mentransformasikan kehidupan penduduk di luar bandar,” jelasnya.

Bagi beliau, dasar keterangkuman sedemikian tentu membawa kesan positif kepada kehidupan rakyat pelbagai etnik di negeri ini. Semua etnik terutama minoriti di luar bandar perlu dilayan secara adil dan saksama dari segi dasar pembangunan.

Jeniri bersetuju apabila dikatakan RTP itu bukan hanya menyediakan kemudahan dan prasarana kepada penduduk daripada segi bekalan elektrik, Internet, air bersih, jalan raya, sekolah dan sebagainya, tetapi juga bakal mengubah nasib dan masa depan penduduk terbabit.

“Peminggiran masyarakat luar bandar tidak boleh dibenarkan kerana kalau tidak, akan berlaku jurang lebar antara luar bandar dengan bandar. Jurang tersebutlah yang cuba dirapatkan oleh Ketua Menteri melalui dasar transformasi luar bandar.

“Penduduk di luar bandar perlu diberi kemudahan yang setaraf dengan kemudahan di bandar. Mereka tidak boleh dilayan sebagai rakyat kelas kedua. Mereka merupakan pengundi yang telah banyak berjasa kepada survival Barisan Nasional.

“Meminggirkan mereka bermakna mengkhianati kepercayaan yang telah diletakkan kepada pemimpin. Jangan sampai pembangkang mengeksploitasikan isu pembangunan atau ketiadaan pembangunan luar bandar – yang untuk sekian lama dimanipulasikan menjelang setiap pilihan raya,” jelasnya.

Daripada segi pelaksanaan program dan projek pembangunan di luar bandar, pensyarah kanan dalam bidang komunikasi itu menekankan agar ia dilakukan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan rakyat.

Seorang pesara kerajaan, Bussera Seran yang kini menetap di kampung kelahirannya – Kampung Bruit, Daro – berpendapat langkah Adenan memberi lebih tumpuan kepada luar bandar pastinya mendapat reaksi positif penduduk di kawasan berkenaan.

Luar bandar jelasnya memang wajar dibangunkan dan adalah tidak adil untuk terus membiarkannya ketinggalan – tidak ada jalan raya atau mutu jalan teruk, tiada bekalan air bersih, bekalan elektrik tidak ada dan lain-lain kemudahan.

“Di kawasan saya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, wakil rakyat kami YB Abdullah Saidol begitu prihatin terhadap keperluan kemudahan jalan yang menghubungkan kampung ke kawasan luar.

“Bukan sekadar itu, YB Abdullah sentiasa menjenguk kawasan sambil bertanyakan masalah penduduk kampung dan memantau projek-projek kerajaan agar ia dilaksanakan dengan sempurna.

“Beliau tidak pernah jemu menyuarakan betapa pentingnya kerajaan memberi tumpuan kepada luar bandar termasuk jalan raya ketika persidangan-persidangan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Menurutnya, hasil laut dan tani di kawasan Pulau Bruit wajar dipasarkan ke bandar. Pada masa ini para nelayan dan petani di kawasan terbabit banyak bergantung kepada pengangkutan air untuk mengangkut hasil ke bandar.

Jika jalan raya yang sempurna sudah wujud, tidak mustahil hasil laut dan tani mereka lebih cepat dan mudah untuk sampai ke pasaran.

Bussera turut berharap BN akan terus diberi mandat menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-11 kelak agar dapat meneruskan usaha membangunkan luar bandar.

“Siapa lagi penduduk luar bandar hendak harapkan jika bukan BN pimpinan Ketua Menteri Adenan yang sejak awal mengambil alih tampuk pucuk pemerintahan negeri telah melaungkan usaha pembangunan luar bandar akan diperhebatkan,” jelasnya.

 

Advertisement