Anda di sini

Eksport makanan laut segar ke luar negeri dibeku serta-merta

Advertisement

KOTA KINABALU: Kegiatan eksport ikan segar ke luar kawasan negeri ini dibekukan serta-merta mulai kelmarin, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Perdana Kementerian Pertanian dan Industri makanan (MAFI) di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian, kelmarin.

Yahya berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan isu kekurangan makanan laut yang segar sama ada di pasar mahupun mana-mana restoran.

“Kebelakangan ini, kita sukar menikmati makanan laut yang segar berbanding di negeri lain.

“Justeru, langkah ini akan dapat mengawal eksport bagi memudahkan rakyat malah pelancong yang datang untuk menikmati makanan laut segar tanpa perlu ke negeri lain,” katanya di sini kelmarin.

Meksipun begitu katanya, eksport makanan laut sejuk beku tetap boleh dijalankan sama ada dalam negeri mahupun luar negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan selanjutnya setelah mendapat maklum balas daripada kerajaan pusat.

“Tindakan ini akan kita laksanakan secara bersepadu apabila menerima maklum balas daripada kerajaan negeri serta pusat.

“Hal ini kerana, kita perlu membuat tinjauan terlebih dahulu mengenai impak serta jumlah makanan laut yang dikenakan sama ada sejuk beku, segar atau yang sudah diproses,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengatakan bahawa pengusaha eksport negeri ini dianggarkan lebih kurang 20 syarikat dengan jumlah eksport dalam 130 ribu tan bagi semua jenis hidupan laut yang mencecah nilai jualan sehingga RM800 juta.

Rayner berkata, biasanya, penerima eksport makanan laut segar negeri ini adalah dari Semenanjung serta negara seperti China, Korea dan Amerika Syarikat.

 

 

Advertisement