Anda di sini

Peruntukan terbesar RM1.56 bilion

Advertisement

KKLW kenal pasti pelbagai projek pembangunan di Sabah sepanjang 2016

 Ismail Sabri (tiga kanan) terhibur menyaksikan persembahan kanak-kanak berpakaian tradisional.

KEBAJIKAN DIJAGA: Ismail Sabri (tiga kanan) terhibur menyaksikan persembahan kanak-kanak berpakaian tradisional.

KOTA MARUDU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah mengenal pasti pelbagai projek pembangunan di Sabah sepanjang 2016 dengan peruntukan sejumlah RM1.56 bilion.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara projek berkenaan ialah seperti pembekalan elektrik, air bersih, jalan kampung dan rumah mampu milik. “Peruntukan itu adalah daripada jumlah asal peruntukan KKLW di seluruh Malaysia pada tahun ini iaitu berjumlah RM5.4 bilion.

“Sabah menerima peruntukan terbesar iaitu 28.8 peratus daripada jumlah peruntukan asal dan ini menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tinangol, di sini kelmarin.

Beliau berkata, Sarawak pula menerima sejumlah 26 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, menjadikan Sabah dan Sarawak diberikan keutamaan dalam usaha kerajaan pusat membangunkan kawasan luar bandar di kedua-dua negeri berkenaan.

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa peruntukan seperti pembinaan 26 unit rumah panjang Tinangol yang bernilai RM1.8 juta.

“Saya juga mengumumkan sejumlah RM500,000 untuk pembinaan Gereja Pekan Matunggong. Saya juga ingin mengumumkan bantuan pembinaan lapan unit rumah mampu milik di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) kepada lapan mangsa kebakaran di sini.

“Selain itu, sebanyak 42 unit PBR turut akan dibina di Kota Marudu menjadikan jumlah keseluruhan rumah mampu milik yang akan dibina di sini sebanyak 50 unit,” katanya.

Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan bernilai RM7.96 juta untuk projek menaik taraf Jalan Minikodong. Usahawan kraf di Kampung Tinangol turut menerima peruntukan berjumlah RM30,000 dan Kampung Tinangol menerima sumbangan RM10,000 untuk aktiviti sukan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan kampung di Sabah dan Sarawak dapat dicapai hampir 100 peratus menjelang tahun 2020.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda, Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek Datuk Anita Baranting.

Advertisement