ISKANDAR PUTERI: Nama dan kehebatan juragan Malaysia, Hazwan Hazim Dermawan, menjadi bualan ramai sepanjang berlangsungnya perlumbaan Piala Monsun, bukan sahaja dalam kalangan peminat sukan layar, tetapi juga juragan lain yang bertaraf dunia.
Bagaimanapun, setelah berakhirnya kejohanan itu semalam, soalan yang perlu dijawab ialah sama ada juragan berusia 27 tahun itu akan berpeluang meneruskan pelayarannya untuk menjadi juragan perlumbaan terkemuka di arena antarabangsa.
Ketika mengaku bahawa penajaan merupakan perkara utama yang menjadi kebimbangannya, juragan berasal dari Johor itu berkata setakat itu sahajalah yang termampu dicapainya melalui penyertaan dalam Liga Layar Malaysia dan Piala Monsun.
“Saya ingin memohon lesen untuk bot katamaran M32 yang melibatkan yuran sejumlah US$1,000 bagi seorang kru. Kami juga perlukan penajaan untuk membeli bot bagi menjalani latihan,” katanya dalam pertemuan ketika berlangsungnya kejohanan Piala Monsun kelmarin.
Bot lumba katamaran serat karbon sepanjang 9.68 meter yang siap untuk berlumba itu berharga kira-kira US$240,000 dan kini dimiliki pengeluarnya Aston Harald Composite AB, anak syarikat milik penuh Aston Harald AB.
Berpangkalan di Sweden, Aston Harald AB adalah sebuah syarikat persendirian yang memiliki dan menguruskan bot siri M32, litar perlumbaan bagi katamaran M32 dan pemilik World Match Racing Tour (WMRT).
Berbeza dengan perlumbaan WMRT sebelum ini di mana bot berbeza digunakan untuk pusingan bebeza, tetapi mulai musim 2016/2017 pada minggu pertama Mac, bot katamaran M32 akan digunakan bagi semua pusingan WMRT di seluruh dunia.
Menurut pengarah eksekutif WMRT, James Pleasance, Ian Williams yang dinobatkan sebagai juara WMRT 2015/2016, yang keenam dalam kerjayanya setakat ini, dan naib juara, Taylor Canfield, sudah mempunyai bot jenis itu untuk berlumba pada masa akan datang.
“Bot itu jauh lebih ringan, pantas, mempunyai semacam daya pecut kepada pelayar dan peminat antarabangsa.
“Apa yang lebih menarik ialah jumlah wang sebagai hadiah bagi setiap pusingan akan ditambah dan ini menjadi sumber pendapatan yang baik, terutama untuk pelayar muda,” katanya. — Bernama