Anda di sini

UPKO bantu BN Sarawak hadapi pilihan raya negeri

Advertisement

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akan membantu Barisan Nasional (BN) Sarawak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata pemangku Presidennya Datuk Seri Madius Tangau.

Beliau berkata pihaknya telah mengorak langkah untuk membantu dalam memastikan kemenangan cemerlang BN dalam PRN itu nanti.

“Kami pemimpin di Sabah akan bersama-sama dengan pemimpin di peringkat nasional untuk memberikan bantuan dan kita percaya dengan pimpinan cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem serta kerajaan BN di Sarawak dapat meyakinkan rakyat untuk terus memilih kerajaan BN,” katanya.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan mesra sempena perayaan Tahun Baharu Cina di pekan Tuaran, dekat sini semalam.

Mengulas mengenai tinjauan mesra itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata ia bertujuan meninjau, mendengar pendapat serta rintihan rakyat.

“Kita juga pergi ke setiap kedai untuk beramah mesra dan mengedarkan kad ucapan Tahun Baharu Cina kepada orang ramai dan esok (hari ini) kita akan lakukan lagi program seperti ini di pekan Tamparuli,” katanya. — Bernama

Advertisement