Anda di sini

Pemimpin turun padang bantu mangsa kebakaran

Advertisement

KIULU: Lebih 80 orang penduduk Kampung Rangalau Lama, Kiulu memberikan sokongan moral dengan bergotong-royong menyiapkan kediaman sementara salah seorang penduduk kampung yang hilang tempat tinggal apabila rumah yang didudukinya sejak 30 tahun yang lalu musnah dalam kebakaran pada awal pagi Isnin lepas.

Penduduk Kampung Rangalau Lama dengan sokongan Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu Sabah (PBS) Kiulu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian PBS Kiulu Janih Bangud, mengadakan gotong-royong menyiapkan sebuah rumah yang kebetulan masih dalam proses pembinaan milik saudara mangsa agar dapat dijadikan tempat tinggal sementara keluarga mangsa.

Kerja gotong-royong yang bermula seawal jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah hari itu melibatkan kerja-kerja membina tandas, menyiapkan dapur serta membersihkan sekitar kawasan rumah berkenaan.

Menurut Janih yang turut berdukacita terhadap kejadian yang menimpa keluarga 10 beranak itu, kerja-kerja menyiapkan tempat tinggal sementara ini diperlukan sebagai sokongan moral dan segala keperluan asas seperti air serta elektrik turut diusahakan agar mereka boleh menjalankan kehidupan harian seperti biasa.

“Kita sudah menguruskan dokumen untuk penyambungan bekalan air dan elektrik untuk rumah itu. Selain itu, bantuan kewangan dan pakaian turut diberi kepada keluarga mangsa.

“Apa yang dialami keluarga mangsa juga dirasai semua dan ia sudah menjadi tanggungjawab kami di Pejabat Bahagian PBS Kiulu untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita pada satu program gotong-royong yang daidakan di sini baru-baru ini.

Beliau mencadangkan agar sebuah pasukan keselamatan dan kemudahan khas ditubuhkan di daerah itu bagi menangani sebarang bencana seperti kebakaran.

“Hal ini kerana rata-rata kampung di daerah ini jauh dari pusat pihak keselamatan dan keadaan jalan yang berbukit dan tidak mempunyai tar juga melambatkan kenderaan pihak keselamatan,” katanya.

Sementara itu, wakil keluarga mangsa, Taingin Ago, 58, berkata, mereka sekeluarga kini tinggal di rumah adiknya untuk sementara waktu.

“Ketika kebakaran itu kami tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda dan dokumen penting.

“Pada masa sama, adik saya sedang menyiapkan rumah baharu tidak jauh dari sini dan mereka membenarkan kami tinggal sementara menunggu kerja membina semula rumah kami.

“Syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga saya, dalam apa juga bentuk, wang ringgit, makanan, pakaian, tenaga dan termasuklah sokongan moral,” katanya selepas menerima kata-kata sokongan daripada Ketua Bahagian Kiulu Datuk Louis Rampas yang hadir sama menjayakan sesi gotong-royong menyiapkan rumah sementara untuk keluarga mangsa.

Dalam kejadian 26 Januari lalu, 10 beranak tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7 pagi disyaki akibat litar pintas.

Advertisement