Anda di sini

JBPM rancang bina 4 rumah untuk mangsa kebakaran

Advertisement

TAWAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merancang untuk membina empat rumah baharu tahun ini untuk mangsa yangterbabit dalam kebakaran di negeri itu.

Pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi berkata pembinaan rumah itu adalah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS 7): Kejiranan Indah dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKPT) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Selain empat rumah itu, kami juga dalam perancangan untuk membaik pulih dua rumah yang rosak, juga akibat kebakaran.

“Kita telah membuat permohonan peruntukan kepada KKLW serta KKPT dan sekarang kami sedang meneliti rumah mangsa yang layak untuk disenaraikan dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah terbakar di bawah NBOS 7: Kejiranan Indah Tawau kepada Mariam Harun di Kampung Kuala Apas dekat sini semalam.

Rumah Mariam terbakar pada 2 Julai lepas yang mengakibatkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Nordin berkata sejak program NBOS 7 diperkenalkan pada 2012, JBPM telah membina 89 rumah di seluruh negara termasuk lapan di Sabah iaitu dua pada 2013, 2014 (dua) dan 2015 (empat).

Beliau berkata walaupun bomba sinonim dengan kerja memadam api dan menyelamat, kewujudan program itu turut mengoptimumkan tenaga serta kemahiran dimiliki anggota bomba untuk membina kembali rumah yang rosak akibat kebakaran termasuk rumah bagi orang miskin.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata walaupun sibuk dengan tugas menyelamat, anggota bomba tidak pernah mengecilkan skop tugasan mereka untuk turut terlibat membina semula rumah terbakar di bawah program NBOS 7.

“Perkhidmatan yang diberikan warga JBPM kepada masyarakat adalah mencabar dan kejayaan mereka menyiapkan rumah Mariam di Kuala Apas ini merupakan kerja mulia dan harus dibanggakan,” katanya yang menyempurnakan majlis penyerahan kunci itu.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata rumah yang dibina itu memakan masa empat bulan untuk disiapkan dengan bantuan 12 anggota bomba dari Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak. — Bernama

Advertisement