Anda di sini

Pengecualian visa galak lebih ramai pelancong China ke Sabah

Advertisement

SANDAKAN: Pengecualian visa kepada rakyat China ke negara ini, dilihat bakal meningkatkan jumlah kehadiran pelancong dari negara tembok besar itu, ke Sabah.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Johnny Lim menyifatkan kerajaan mengambil langkah bijak dalam menggalakkan kehadiran pelancong dari China ke Malaysia.

“Pelancong dari China merupakan pelancong paling ramai berkunjung ke negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

“STAN berharap langkah kerajaan itu juga akan meningkatkan jumlah kehadiran pelancong dari China ke daerah ini,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelancong dari China tidak perlu mendapatkan visa untuk melawat Malaysia, mulai 1 Mac hingga 31 Dis tahun ini.

Najib berkata pengecualian visa untuk pelancong China itu akan tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari.

Menurut Johnny, buat masa ini tidak ramai pengunjung dari China berkunjung ke Sandakan dan berharap dengan langkah kerajaan itu, usaha untuk mendapatkan penerbangan terus dari mana-mana destinasi di China ke Lapangan Terbang Sandakan dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) turut menyifatkan kerajaan mengambil langkah positif dalam meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini khususnya dari China.

Pengerusinya Alexander Yee berkata sebelum langkah itu berkuat kuasa pada Mac ini, pihaknya akan mengenal pasti syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari itu untuk diberi penerangan kepada ahli persatuan berkenaan. — Bernama

Advertisement