Anda di sini

Ancaman dadah semakin rumit dengan kehadiran teknologi canggih

Advertisement

 Pairin memerhati pameran oleh Jabatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau pada program itu. Turut kelihatan, Douglas (tiga kanan).

BANTERAS DADAH: Pairin memerhati pameran oleh Jabatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau pada program itu. Turut kelihatan, Douglas (tiga kanan).

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, ancaman dadah pada masa kini semakin rumit lebih-lebih lagi dengan kehadiran teknologi canggih yang menyukarkan untuk menyekat kemasukan dadah, terutama dadah jenis sintetik.

Katanya, dadah jenis itu sangat popular dan kebanyakan golongan belia di negara ini ramai yang terjebak dengan dadah jenis berkenaan kerana lebih mudah didapati.

“Negeri ini tidak terlepas daripada belenggu dadah sintetik yang dikenali sebagai syabu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Bahaya Ancaman Dadah dan Kempen Derma Darah di Dataran Pisompuruan, di sini kelmarin.

Pairin berkata, belum lagi selesai menangani masalah penagihan syabu, muncul pula dadah jenis lain sperti ketamin yang mula menular ke daerah ini dan pelbagai lagi jenis dadah sintetik.

Justeru katanya, sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab harus pantas bergerak bagi mencegah pengedar dadah mengambil kesempatan dan memperluaskan aktiviti haram mereka di daerah ini.

“Saya percaya usaha memerangi dadah tidak ada noktahnya…selagi ada permintaan selagi itulah ada penawaran dan pembelian.

“Inilah sebabnya mengapa masyarakat pada hari ini perlu menggerakkan jentera bagi menghapuskan gejala dadah yang boleh menghancurkan bangsa, agama dan negara,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, dadah akan menghancurkan kesejahteraan rakyat di mana ia akan memusnahkan individu, masyarakat dan negara.

Katanya, individu yang terlibat dengan dadah akan melemahkan tubuhnya, intelek, kerohanian dan moral.

Masalah yang lebih dahsyat lagi ialah gejala penyalahgunaan dadah akan meningkatkan kejadian jenayah rasuah, keganasan, kemalangan di tempat kerja, keruntuhan keluarga, anak-anak terbiar dan penagihan.

“Kemusnahan ini berlaku tanpa mengira umur, bangsa dan status. Yang menyedihkan kita ialah penagih dadah ini terdedah kepada risiko jangkitan HIV disebabkan amalan perkongsian jarum ketika mereka menyuntik bahan itu ke dalam badan.

“Oleh itu adalah menjadi dasar negara untuk menghentikan permintaan dan bekalan dadah bagi menentukan masyarakat bebas dari dadah,” katanya.

Pairin berkata, memandangkan besarnya ancaman dadah kepada kesejahteraan rakyat maka program pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan dadah perlulah dipertingkatkan supaya ia lebih berkesan.

Turut diadakan sempena dengan program itu ialah penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung pringkat daerah ini, penyampaian insentif kepada atlet para limpik yang memenangi tiga pingat emas di sukan ASEAN Singapura, pertunjukan anjing K-9 dan penyampaian bantuan oleh Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) kepada dua penduduk yang ditimpa musibah iaitu kebakaran rumah.

Lebih 500 orang terdiri ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, pemimpin masyarakat termasuk Pegawai Daerah selaku Pengerusi Penganjur Thomas Logijin, Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong, Ketua Daerah OKK Philip Kitingan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Severius Bruno hadir pada program itu.

Advertisement