Anda di sini

Waspada anasir luar, pastikan setiap maklumat diperolehi sahih: TYT

Advertisement
 Kamarulzaman memberikan buku berkaitan penglibatan ATM di Afghanistan kepada Tun Juhar, sempena kunjungan hormat itu. — Gambar Jabatan Penerangan

WASPADA: Kamarulzaman memberikan buku berkaitan penglibatan ATM di Afghanistan kepada Tun Juhar, sempena kunjungan hormat itu. — Gambar Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan supaya memastikan setiap maklumat diperolehi tepat dan sahih terutama berkaitan hal keselamatan.

Ia kerana sikap segelintir masyarakat yang gemar viralkan perkara tidak benar menerusi media sosial, menyebabkan kententeraman terganggu.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, sikap ingin tahu dan keprihatinan masyarakat menyebabkan ada yang terperdaya tanpa sedar dan akhirnya menyertai atau menyokong golongan pengganas.

“Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan dakyah atau fahaman songsang yang cuba dibawa oleh anasir luar yang berkepentingan menggugat keharmonian dan keamanan negara.

“Masyarakat perlu bertanggungjawab menjaga kedaulatan dan keamanan negara dengan memastikan anak-anak mendapat pendidikan, ilmu pengetahuan dan bimbingan yang secukupnya,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah RM Jasni di Istana Negeri, pagi kelmarin.

Menurut beliau, pasukan keselamatan khususnya TLDM sentiasa bersiap sedia menangani sebarang bentuk ancaman pada bila-bila masa.

Kamarulzaman berkata, TLDM akan menggunakan pendekatan yang lebih holistik dalam menghadapi ancaman keselamatan pada masa ini.

Antaranya, menerusi program Rakan Maritim (RAKAM) yang dilancarkan di Sandakan menjadi platform terbaik bagi mendekati masyarakat maritim terutama dalam memberi penjelasan dan mendapatkan maklumat berkaitan.

Jelasnya, RAKAM juga menjadi penghubung dan penyaluran maklumat demi menjaga perairan maritim negara sentiasa aman dan makmur.

Advertisement