Dengan kecekapan anggota sasaran akan dicapai: Janathan
SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menyasarkan pungutan hasil sebanyak RM2 bilion pada tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok.
Menurutnya pada tahun lepas, sebanyak RM1.7 bilion pungutan hasil dapat dicapai melebihi sasaran RM1.3 bilion.
“Dengan strategi yang berkesan dan kecekapan 1,015 anggota kastam di seluruh negeri ini menjalan tugas mereka, sasaran itu akan dicapai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Kastam Sedunia peringat negeri di sini, semalam.
Janathan berkata usaha membanteras kegiatan penyeludupan turut menjadi tumpuan di kawasan pesisir pantai di timur negeri ini sepanjang 1,400 kilometer yang mencabar dalam usaha membanteras penyeludupan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat tepat sebarang kegiatan penyeludupan yang berlaku di kawasan mereka.
“Kita tidak mampu untuk meletakkan anggota kastam di semua tempat sepanjang pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga dilakukan untuk bersama-sama membanteras kegiatan penyeludupan. — Bernama